Video bekas vokalis Slam, Zamani menyanyi dalam keadaan tangan bergari menjadi viral di media sosial. Video berdurasi 1 minit 23 saat itu menunjukkan artis terbabit duduk dalam keadaan bergari dan dipaksa menyanyi dalam balai polis. Video itu mula menjadi viral pada hari ini dan kebanyakkan orang ramai mengkritik tindakan mengaibkan itu.
Oleh yang demikian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat penyebaran video artis Zamani yang tersebar dalam keadaan bergari. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan kepada individu yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman itu.
“PDRM akan siasat dan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang memuat naik video Zamani nyanyi semasa bergari,” katanya menerusi laman Twitter tadi.
Semalam, penyanyi terbabit ditahan polis bersabit kesalahan memiliki dadah dan sudah direman selama empat hari bermula semalam.
Update terkini :
Berikutan daripada dakwaan penyebaran klip penyanyi Zamani semasa dalam tahanan polis baru-baru ini, pihak Polis sangat memandang serius terhadap perbuatan tersebut. Sehubungan itu, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hasil siasatan awal setakat ini, pihak polis telah berjaya mengenalpasti anggota polis yang terlibat dan bertanggungjawab dalam merakam dan menyebarkan video tersebut. Disamping itu, Polis Selangor juga masih meneruskan siasatan untuk mengenalpasti pegawai dan anggota lain yang terlibat sama dalam menyebarkan video berkenaan.
Siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya. Disamping itu, siasatan dalaman dari segi salahlaku dan pematuhan Standard Operating Prosedure (SOP) juga sedang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM Kontinjen Selangor.
Polis Selangor memberi jaminan bahawa siasatan yang telus akan dijalankan tanpa melindungi sesiapa, telahpun dilaksanakan dan tindakan dalaman mengikut peraturan tatatertib akan dikenakan terhadap anggota-anggota polis yang terlibat.
Harian Metro & Siakapkeli