Wangian pheromone kembali tular…
Sekali lagi wangian seksi, menggoda dan memikat kembali mendapat tempat di hati pengguna. Semua ini gara-gara tular di TikTok. DIVA masih ingat lagi minyak wangi pheromone popular sekitar tahun 2003-2005. Kemudian ia dilupakan begitu sahaja.
Namun hampir sepuluh tahun kemudian, wangian pheromone menjadi perkongsian dan bual bicara di media sosial. Jadi apa sebenarnya minyak wangi pheromone ini? Adakah ia benar-benar boleh membantu para isteri atau wanita bujang untuk memikat suami dan lelaki idaman mereka?
Pheromones ialah bahan kimia yang dirembes melalui peluh dan dikatakan signal badan sedia untuk bersetubuh. Ia bukan peluh yang melekit tapi seperti bauan wap yang tanpa sedar kita dapat menghidunya. Pheromones juga boleh dihasilkan melalui air kencing dan air liur. Senang kata, pheromones menandakan wanita itu sedang subur, tinggi hormon dan terangsang.
Jadi pheromones ini sudah ada dibadan kita sendiri secara semulajadi. Malah bagi mereka yang tinggi pheromones mudah melakukan aktiviti seks, miliki keyakinan diri yang tinggi dan mudah mesra. Ada juga yang berpendapat sesiapa yang tinggi pheromones juga boleh mendapat perhatian dan mempunyai tarikan seksual.
Wangian pheromones pula bagaimana?
Sebenarnya masih belum ada apa-apa keputusan yang sahih tentang wangian pheromones. Samada ia berkesan atau sekadar kesan placebo sahaja. Lagipun dengan kenyataan “pheromones” pada botol wangian mungkin boleh meninggalkan kesan pada otak untuk kita jadi lebih berkeyakinan dan seksi. Namun sekali lagi DIVA ingin tegaskan, ia belum ada fakta yang kukuh.
Haruman yang biasa diletakkan pada wangian pheromones ialah musk, jasmin dan sandalwood. Musk sering dijadikan base note kerana ia mampu meninggalkan kesan yang lama atas kulit. Malah kekuatan musk juga dikaitkan dengan godaan dan misteri. Tak dinafikan wangian juga mampu membentuk peribadi diri dan menyerlah personaliti. Pun begitu, kita tidak semestinya bergantung pada satu jenis wangian seperti pheromones.
Iyalah, kita sendiri rupanya memiliki pheromones secara semulajadi! Jadi fokus untuk tingkatkan pheromones semulajadi lebih baik. Caranya ialah dengan menjaga kesihatan, pemakanan dan mengembalikan keyakinan diri.
Mana-mana wangian pun boleh menjadi alat godaan kamu. Bagi yang dan mencuba wangian pheromones, kongsikan pada DIVA, adakah ia benar-benar berkesan?