Pantai Tusan di Bekenu, kira-kira 40 kilometer dari bandar raya ini, sebelum ini hanya popular di kalangan penduduk berhampiran serta peminat fotografi sebagai lokasi terbaik untuk melihat matahari terbenam dan landskap menarik di situ.
Kedudukan pantai ini di hujung sebuah ladang kelapa sawit yang berhampiran Jalan Pesisir Pantai Miri-Bekenu agak tersorok, dan pengunjung perlu berjalan turun kira-kira 30 meter untuk ke pantai tersebut, menambah “misteri” kepada lokasi ini.
Namun segala-gala berubah apabila sekitar hujung tahun 2015, seorang jurugambar tempatan merakam gambar fenomena air mata biru di pantai tersebut, gambar itu kemudiannya tersebar hingga menjadi viral di laman sosial.
Sejak itu saban minggu, ratusan pengunjung menyerbu pantai itu untuk menyaksikan sendiri fenomena air mata biru, atau dinamakan ‘bio-luminescence’, yang berlaku apabila mikro-organisme di dalam air diganggu oleh oksigen, menghasilkan cahaya cerah kebiruan di pantai tersebut.
Selain fenomena air mata biru, tarikan lain termasuk tebing batu di Tanjung Layang-layang yang turut dikenali sebagai ‘Batu Kuda’ di kalangan pengunjung berikutan bentuknya mirip seekor kuda sedang minum serta gua kecil dengan landskap batuan menarik di sepanjang pantai itu.
Katanya, dari awal Januari hingga Februari tahun ini, fenomena itu terus dikesan berlaku namun hilang selama beberapa bulan sebelum muncul kembali awal November lepas.