Sukan Paralimpik Rio 2016 secara rasminya dibuka pada Rabu dengan acara pembukaan berlangsung penuh gilang-gemilang di Stadium Maracana, Rio De Janeiro.
Dalam kemeriahan itu, pemenang pingat emas Paralimpik Brazil, Marcia Malsar, berjaya menunjukkan kepada khalayak betapa istimewanya golongan atlet istimewa ini.
Malsar, yang pemenang pingat emas pertama untuk Brazil dalam Sukan Paralimpik pada tahun 1984 menerusi acara 200 meter, dipertanggungjawabkan untuk membawa obor sejauh 30 meter, sebelum diserahkan kepada perenang Paralimpik Brazil, Clodoaldo Silva untuk dinyalakan.
Namun Malsar yang berjalan menggunakan tongkat dalam keadaan hujan renyai-renyai, tergelincir sebelum terjatuh. Apa yang menyentuh hati ramai adalah bagaimana Malsar berusaha untuk mengambil obor tersebut dan bangun semula, sambil dibantu oleh dua petugas.
Semangat luar biasa Malsar menerima tepukan gemuruh penonton dan menjadi detik paling tidak dapat dilupakan dalam acara pembukaan kali ini.