Sekiranya anda gemar memanjakan diri semasa hamil, mengapa tidak meluangkan satu atau dua hari di spa? Kebanyakan spa menawarkan pelbagai bentuk rawatan dan penjagaan diri daripada urutan hinggalah rias kuku. Ketahui apa yang boleh dan tidak anda lakukan.
Bila waktu boleh pergi ke spa semasa hamil?
1. Waktu terbaik untuk pergi ke spa ialah dalam trimester kedua. Pada masa ini mabuk hamil telahpun berlalu dan anda juga sangat bertenaga. Trimester kedua juga adalah masa apabila risiko keguguran atau kelahiran pramatang sangat jarang.
2. Sesetengah spa juga menyarankan supaya anda tidak mendapatkan rawatan atau mengikuti sesetengah kelas senaman sehingga anda mencecah sekurang-kurangnya 12 minggu kehamilan. Ada juga spa yang tidak menerima wanita yang hamil lebih daripada 32 minggu.
3. Pastikan anda maklumkan kepada staf di spa tersebut mengenai usia kehamilan anda apabila anda menempah rawatan. Pastikan juga samada mereka berpengalaman menangani pelanggan yang hamil.
Apakah yang harus dielakkan sewaktu di spa?
Apabila anda sedang hamil, lebih baik jika anda elakkan rawatan panas. Ini termasuklah:
- sauna
- bilik wap
- tanning
- kolam air panas
- tab panas dan jakuzi
Peningkatan suhu badan boleh menjejaskan peredaran darah dan nutrien kepada bayi dan menyebabkan masalah.
Bolehkah berurut semasa hamil?
1. Berurut semasa hamil boleh jadi cara yang baik untuk melegakan sakit belakang, sengal-sengal bahu dan lenguh paha. Ia juga boleh memperbaiki mood anda dan membuatkan anda rasa bertenaga, segar dan relaks. Untuk mendapat urutan yang terbaik, periksa dahulu samada tukang urut di tempat itu mempunyai pengalaman mengurut wanita hamil ataupun tidak.
2. Sebagai panduan, periksalah sekiranya spa tersebut ada menawarkan perkhidmatan mengurut khas bagi wanita hamil. Jika ya, ini bermakna ahli terapi di situ mempunyai latihan dan pengalaman dalam urutan kehamilan.
3. Sesetengah spa mempunyai tilam yang berlubang untuk menempatkan perut anda, tetapi sesetengah wanita hamil rasa ini membuat mereka sakit belakang.
Jika deria hidu anda sangat sensitif semenjak hamil ini, mintalah losyen tanpa aroma. Dan sekiranya anda tidak boleh tahan mendengar muzik yang dimainkan, mintalah supaya ia ditukar!
4. Anda perlu lebih berhati-hati sekiranya anda merancang untuk diurut menggunakan minyak pati. Sesetengah minyak boleh membahayakan kandungan. Pastikan ahli aromaterapi anda terlatih dalam merawat bakal-bakal ibu, dan maklumkan kepada beliau berapa minggukah kehamilan anda ketika itu.
Boleh atau tidak rawatan muka dibuat semasa hamil?
Rawatan muka atau facial sangat menenangkan dan boleh mengekalkan kesihatan kulit anda. Tetapi ingat, kulit anda mungkin lebih retinoid. Retinoid ialah sejenis vitamin A yang mempercepatkan pembahagian sel. Ia boleh mengembalikan kesegaran kulit dan menghalang kolagen kulit daripada pecah. Namun, ada kemungkinan yang ia boleh membahayakan bayi anda jika anda terlalu banyak terdedah kepadanya.
Merias kuku tangan dan kaki semasa hamil?
1. Tapak tangan dan kaki yang menawan pasti membuatkan anda rasa gembira. Anda boleh gunakan pengilat kuku dan cecair pembersihnya semasa hamil. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa bahan kimia di dalamnya boleh membahayakan sekiranya anda kerap terdedah kepadanya.
2. Dua jenis bahan kimia yang biasa digunakan dalam pengilat kuku ialah formaldehid dan toluen. Kedua-dua bahan kimia ini boleh merengsakan mata, tekak dan paru-paru. Toluen juga boleh mengakibatkan masalah kepada bayi sekiranya anda terlalu banyak atau terlalu kerap terdedah kepadanya.
3. Mungkin lebih baik jika anda elakkan daripada mengunjungi salon kuku semasa awal kehamilan. Anda juga boleh meminta jururias anda menggunakan pengilat kuku yang bebas daripada formaldehid dan toluen, dan pastikan bilik yang digunakan itu mempunyai pengudaraan yang baik.