Maklumlah, keadaan jerebu sekarang ni semakin menjadi-jadi pula. Cuaca bukan main bahang! Panas sangat walaupun tak ada matahari. Tekak pun asyik haus dahagakan minuman sejuk, betul tak? Selain minuman sejuk, mungkin ais krim yang anda mahukan? Jadi apa kata anda semua cuba resipi ais loli yang best dan sihat ini! Mudah, cepat dan lazat! Sesuai untuk dinikmati waktu-waktu yang kering macam sekarang ni.
Air Lemon & Lavender
Bahan-bahan:
- 4 biji lemon (perahkan jus)
- 1/4 cawan madu
- 3 sudu makan lavender
- 4 cawan air
Gabungkan kesemua bahan-bahan itu tadi di dalam kuali/periuk kecil dan didihkan selama 5-8 minit. Terpulang kepada anda, jika anda mahukan bau lavender yang lebih wangi, anda boleh didihkan lama sedikit. Jika tidak, 5-8 minit sudah memadai. Empat cawan air mungkin nampak terlalu banyak tetapi jangan risau kerana air itu akan berkurangan ketika ia mendidih di dalam periuk. Setelah selesai, biarkan campuran didihan sejuk. Untuk buat ais loli anda nampak lebih menyelerakan dan berwarna-warni, carik sedikit bunga dan daun lavender, seterusnya campur sekali dengan bahan didihan tadi. Akhir sekali, tuangkan didihan ke dalam acuan ais loli kegemaran anda dan biarkan ia beku di dalam peti ais!
Tembikai & Limau Nipis
Bahan-bahan:
- 1/2 bahagian tembikai tanpa biji
- 1 1/2 jus limau nipis
- 3 sudu madu
- 1 1/2 cawan air
Didihkan jus limau nipis bersama satu cawan air dan madu. Sambil itu, campurkan 1/2 bahagian tembikai bersama lebihan 1/2 air tadi. Anda boleh guna blender jus seperti ‘Nutribullet’ untuk menghancurkan buah tembikai (jangan kisar terlalu tembikai hancur). Gabungkan kedua-dua campuran bersama dan tuangkan ke dalam acuan ais loli. Rasa limau nipis tentunya akan memberikan rasa kesegaran yang tidak terhingga, tetapi dengan adanya campuran madu dan sedikit gula akan memberikan anda nikmat kemanisan yang semula jadi.
Beri Biru (Blueberries) & Peach
Bahan-bahan:
- 2 cawan buah peach cincang
- 1/2 cawan air
- 1/2 cawan madu
- Segenggam buah beri biru
Kisarkan buah peach, air dan madu bersama. Taburkan buah beri biru di dalam setiap acuan. Tak perlu potong atau cincang, biarkan ia bulat-bulat. Tuangkan campuran yang telah siap dikisar itu tadi ke dalam acuan ais loli anda. Jika mahu, anda boleh tambahkan buah peach yang dipotong kuib. Siap untuk dibekukan! Bila anda tergigit beri biru dan peach tatkala menikmati ais loli, mmm pasti sedap!
Brown Butter
Bahan-bahan:
- 2 cawan susu
- 4 sudu besar Greek yogurt
- 1 1/2 cawan butter (tidak akan guna semua)
- 1 cawan krim berat (heavy cream)
- 2/3 cawan gula
- 2 sudu besar gula perang
Cairkan butter dalam periuk besar di atas api serdehana besar. Setelah mendidih dan mula berbuih selepas 6 minit, alihkan daripada api dan biarkan periuk sejuk selama 5 minit.
Tanpa mencuci kerak butter yang sedikit hangus di dalam periuk tersebut, seterusnya masukkan segala lebihan bahan yang belum digunakan tadi dan gaul bersama. Kacau sehingga kesemua bahan sebati selama 3-4 minit.
Tuang campuran ke dalam acuan. Nikmati hari keesokkannya. Boleh taburkan biskut hancur keliling ais krim untuk tekstur rangup berkrim.
Root Beer Float
Bahan-bahan:
- 500 ml Root Beer
- 2/5 cawan yogurt vanila
Campurkan 1/4-1/2 cawan root beer dengan 1/4 cawan yogurt vanila. Anda boleh tambah dan kawal kandungan root beer dan yogurt yang anda mahu mengikut cita rasa sendiri. Tuang ia sama rata ke dalam acuan. biarkan ia beku selema beberapa jam.
Keluarkan acuan kembali, masukkan pula root beer untuk lapisan yang kedua dan tinggal 1/3 ruang paling atas acuan kosong. Sejuk bekukan selama beberapa jam.
Untuk langkah terakhir, campurkan yogurt dan rootr beer seperti langkah awal tadi. Isi ruang acuan yang ,masih kosong dan sejuk bekukan sehingga sempurna sebelum anda menikmatinya.
Oreo & Nutella Lapis
Bahan-bahan:
- Campuran Oreo (lapisan 1)
- Hazelnut cincang kasar (lapisan 2)
- Nutella yang telah dicairkan (lapisan 3)
- Campuran Oreo (lapisan 4)
- Hazelnut cincang kasar (lapisan 5)
- Nutella yang telah dicairkan (lapisan 6)
- Campuran Oreo (lapisan 7)
- Biskut Oreo hancur (lapisan 8)
Untuk buat campuran oreo, anda memerlukan krim berat putar (heavy whipping cream) dan Oreo hancur. Campurkan semuanya sehingga sebati. Setelah itu, lapiskan ia di dalam acuan mengikut aturan yang telah disebut di atas.
Sejuk bekukan sehingga sempurna sebelum anda nikmatinya! Yum!
Koko Panas Bersama Marsmallow
Bahan-bahan:
- 1 3/4 cawan susu (415ml)
- 3 sudu besar serbuk koko
- 3 sudu besar gula pasir (boleh tambah lagi jika anda suka manis)
- Secubit garam
- 1 camca teh ekstrak vanila
- Cip coklat pilihan anda
- Marsmallow mini
Dalam kuali leper besar, kacau susu, serbuk koko, gula, dan garam. Biarkan ia merenih di atas api serdehana. Alih sebaik sahaja koko sebati.
Taburkan 5-10 butir coklat cip di dasar acuan. Penuhkan separuh acuan dengan campuran susu koko yang telah disejukkan terlebih dahulu dan di bahagian atas sekali, taburkan 5-8 marsmallow mini. Biarkan ia sejuk dalam peti.
Keluarkan kembali dan tuang sepenuhnya campuran susu koko dalam acuan dan tutup bahagian atas sekali dengan beberapa butir marsmallow mini. Sejuk bekukan.
Tembikai Susu Segar
Bahan-bahan:
- 1/4 – 1/2 buah tembikai susu segar
- 1/3 cawan gula
- Jus limau nipis
Dadukan buah tembikai susu dan kisar semua bahan tersebut di dalam pengisar makanan. Kisar sehingga semua tembikai susu tersebut hancur. Setelah itu, tuang campuran ke dalam acuan. Sejuk bekukan sebelum anda menikmatinya.
Lemon Berkrim
Bahan-bahan:
- 1/2 cawan gula
- 1/4 jus lemon segar
- 2 sudu besar kulit lemon parut
- secubit garam
- 1 1/4 cawan buttermilk
Kacau gula, jus lemon, kulit lemon dan garam dalam mangkuk besar sehingga gula hancur. Campurkan pula buttermilk dan kacau lagi. Bahagikan campuran ke dalam acuan, sejuk bekukan selama 4 jam dan ke atas. Ais loli ini bisa tahan sehingga 5 hari.
Nanas Pudina
Bahan-bahan:
- 2 cawan nanas cincang kasar
- 1/4 cawan daun pudina segar
- 1/4 cawan air
- 2 sudu besar madu
Campurkan nanas, air dan madu bersama dalam pengisar makanan. Kisar sehingga semuanya hancur. Tambah daun pudina segar dan kisar lagi beberapa minit. Tuang ia ke dalam acuan dan sejuk bekukan selama 4 jam dan ke atas.
Selamat Mencuba!
NOTA: Jangan lupa beli acuan ais loli dahulu, kalau tak, tak jadilah resepi ini nanti okay? Oh ya, di Daiso dan IKEA ada jual!