Siapa peminat teh hijau? Teh hijau yang jernih tanpa susu? Kita sedia maklum bahawa teh hijau adalah salah satu bahan yang telah popular untuk manfaat kesihatannya selama berabad-abad. Ia berasal dari China dan telah digunakan selama beberapa abad untuk tujuan perubatan.
Apa yang berlaku pada kulit kita kalau mengambil teh hijau setiap hari? Yang jelas, pengambilan teh hijau secara sederhana setiap hari boleh memberikan beberapa manfaat kesihatan.
Dipetik daripada Healthline, teh hijau mengandungi bahan yang dipanggil catechin. Sebatian berasaskan tumbuhan ini, mempunyai sifat antioksidan, anti-radang dan antibiotik.
Antioksidan ini boleh melambatkan proses penuaan dalam penampilan kulit, melambatkan garis-garis halus, kedutan dan bintik-bintik penuaan, sambil mengaktifkan sel-sel kulit yang mati.
Teh hijau kaya dengan epigallocatechin gallate (EGCG), polifenol yang dipercayai memperbaiki jerawat dan kulit berminyak.
Ia juga disebut boleh membantu mengurangkan alahan kulit, ruam dan jerawat. Mengambil teh hijau atau menggunakan ekstrak teh hijau yang dibuat untuk kulit boleh membantu merawat jerawat.
Secara keseluruhan, teh hijau baik untuk manfaat kesihatan tetapi dinasihatkan diambil secara sederhana. Minum teh hijau secara berlebihan boleh menyebabkan masalah perut, cirit-birit dan juga menyebabkan kekurangan zat besi. Oleh itu, minumlah dalam had kerana lebihan teh hijau boleh memudaratkan kesihatan anda.