Pernah dengar tentang Nadiyah Shahab iaitu seorang wanita dari Singapura yang berpindah dan menetap di Malaysia untuk mengubah nasibnya?
Kalau kamu pernah ikuti kisah perjalanan hidup usahawan, pelakon dan pelajar lepasan Ijazah Perundangan ini, pasti kamu kenal siapakah wanita ini. Kisah si cantik ini telah menjadi inspirasi ramai wanita dengan usaha kerasnya untuk bekerja dan belajar dalam masa yang sama.
Siapakah Nadiyah Shahab Sebenarnya?
Mula menjejakkan kaki dalam dunia peragaan, Nadiyah atau nama sebenarnya Sharifah Nadiyah Syed Fuah mula membina nama sebagai seorang model kira-kira lima tahun lalu. Bakatnya kemudian digilap lagi dengan mengacara rancangan travelog bahasa Inggeris, Lost At Sea sekitar tahun 2016.
‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.”
Sesuai digambarkan dengan perjalanan hidup si cantik ini, rezeki Nadiyah dalam industri hiburan tidak pernah putus apabila dia ditawarkan untuk berlakon. Antara drama yang dibintanginya adalah Encik Suami Celup dan Lafazkan Kalimah Cintamu.
Pahit Manis Bersama Absolut Chocolat
Masuki tahun 2019, Nadiyah dan suaminya, Ben Ali mengambil keputusan untuk membuka perniagaan F&B menerusi label Absolut Chocolat. Pada awalnya, mereka menjadikan pondok rehat perumahan awam sebagai tempat operasi dan urusan. Di situlah mereka akan membungkus kek dan sos untuk dihantar pada pelanggan.
Sejak dari itu, pasangan ini kerap ‘berpindah randah’ untuk mempromosikan perniagaan secara dalam talian. Hasil usaha keras mereka, label Absolut Chocolat mula dikenali dan mampu mempunyai kilang tersendiri.
Kini jenama Absolut Chocolat sudah memasuki pasaran ‘offline‘ apabila memiliki kiosk fizikal di pusat beli belah Mid Valley Megamall pada awal Oktober ini.
Berjaya Tamatkan Pengajian Selepas 7 Tahun
Belajar sambil bekerja bukanlah sesuatu yang mudah tetapi Nadiyah berjaya menamatkan pengajiannya sebagai pelajar lepasan Ijazah Perundangan di Universiti London.
“Walaupun dalam kesulitan, saya terpaksa menolak beberapa tawaran kerja disebabkan oleh jadual, ulang alik ke Singapura setiap bulan untuk kumpul nota bagi setiap kelas yang saya tertinggal, terlepas parti dan acara sebab fokus untuk belajar.
Sejujurnya saya tidak ada cara lain, apa yang saya cuba sampaikan ialah kamu perlu mengikut masa kamu dan sentiasa berusaha.”
Mendapat 2nd Class Honors In Law Degrees, Nadiyah mendedahkan dia terpaksa mengambil masa selama 7 tahun untuk habiskan pengajiaannya berbanding 4 tahun.
Kisah perjalanan hidup Nadiyah Shahab memang beri inspirasi pada wanita untuk tidak putus asa dalam impian mereka!