Ibu bapa di rumah pernah tak perasan dan tertanya-tanya kenapa anak hanya tertarik kepada satu jenis barang mainan sahaja?
Kalau kamu nak tahu di sebalik barang mainan kegemaran anak itu, ibu bapa boleh mengenali perwatakan anak-anak mereka.
Tak percaya? Mari Wanista kongsikan dengan kamu apa sebenarnya perwatakan anak disebalik barang mainan tersebut.
Permainan Kereta, Motor Atau Jentera
Jika anak kamu menyukai permainan ini, ketahuilah mereka sebenarnya seorang yang mempunyai sifat ingin tahu, sentiasa bergembira, mempunyai semangat bebas dan sering berasa gelisah.
Bagi kanak-kanak ini, mereka lebih gemar berada di ruang yang luas, besar dan kosong bagi memudahkan pergerakan mereka dan menghindarkan perasaan gusar.
Permainan Puzzle
Tak kisalah apa jenis permainan puzzle yang kamu ada di rumah, pasti anak tidak pernah berasa bosan dan sentiasa bersemangat bermain.
Untuk anak yang menyukai permainan ini, mereka merupakan seorang yang cerdas, cerdik, sabar dan rajin. Bukan senang nak alih perhatian kerana mereka sering fokus dalam sesuatu perkara.
Permainan Memasak
Sekiranya anak kamu gemar bermain permainan ini, ketahuilah bahawa dia memiliki ciri-ciri seorang yang penyayang, bertanggungjawab dan sangat sensitif.
Sebagai ibu bapa, kamu perlu memberi perhatian lebih atau turut serta ketika anak kamu bermain. Ia boleh menjadikan dia lebih bertanggungjawab.
Permainan Alat Musik
Kadang kala rumah terasa seperti di pesta atau konsert. Bukan apa, anak sering bermain permainan alat musik tanpa henti.
Anak-anak yang gemar permainan alat musik ini kebiasaannya seorang yang kreatif dan liberal dalam pemikiran mereka.
Walaupun tidak semestinya anak yang menyukai permainan ini akan menjadi ahli muzik, tetapi mereka dapat mengembangkan minat terhadap melodi dan kecantikan.
Permainan Building Blocks
Kalau boleh sampai bersepah dan penuh di ruangan rumah dengan building blocks anak, betul tak?
Melalui building blocks, anak kamu dapat menghasilkan rumah, jalan raya, kereta atau apa-apa sahaja yang dibayangkan olehnya.
Apabila situasi ini berlaku, ia bermaksud anak kamu mempunyai jiwa yang kreatif, kesabaran yang tinggi dan perspektif yang baru serta segar.
Melalui penyelidikan yang dilakukan, anak yang meminati permainan building blocks ini akan cenderung untuk bekerja dalam bidang reka bentuk pada masa akan datang.
Permainan Lembut Dan Patung
Banyak koleksi permainan lembut dan patung seperti teddy bear, Barbie dan sebagainya?
Ciri-ciri perwatakan anak jenis adalah mereka seorang yang mempunyai empati yang tinggi, kreatif, penuh dengan kasih sayang dan sentiasa mengambil berat.
Walaupun ada sesetengahnya akan berkepit dengan barang mainan ini sehingga besar, tetapi jangan risau. Mereka akan dapat membezakan antara fantasi dan realiti semakin usia meningkat.
Permainan Papan
Anak kerap meminta untuk kamu belikan permainan papan seperti scrabble, monopoly dan sebagainya?
Ketahuilah sebenarnya anak kamu mempunyai perwatakan kemahiran sosial yang lebih baik berbanding orang lain. Malah nak berkawan dengan orang baru pun tiada masalah untuk mereka.
Selain itu, mereka juga sangat menghargai sikap berkongsi, empati dan mempunyai rasa bertimbang rasa terhadap orang lain.
Kalau perhati anak di rumah, memang setiap masa mereka bermain dengan alat permainan. Sebagai ibu bapa, kamu bertanggungjawab untuk berikan permainan yang sesuai dengan usia mereka dan selamat.
Berdasarkan jenis-jenis permainan di atas, anak kamu sering bermain permainan yang mana satu?