Jika dibayangkan kebanyakan jenis burung nampak comel dan boleh dibela sebagai haiwan peliharaan. Tidak kiralah bersaiz kecil atau besar, ada orang yang akan membelanya.
Tetapi secara realitinya, tidak semua jenis burung boleh dibela dan jinak. Sebenarnya ada beberapa jenis burung yang berbahaya dan spesis ini mungkin kamu lihat dan berada berdekatan dengannya.
Burung-burung yang berbahaya ini, bukan sahaja boleh menyerang manusia malah boleh mematikan. Jika kamu melihat beberapa spesis ini, lebih baik jauhkan diri daripadanya untuk elakkan sebarang bahaya daripada berlaku.
Jadi menurut kamu, apakah spesis unggas yang berbahaya itu?
Pitohui
Dilihat pada saiznya, burung ini sepertinya tidak berbahaya dan mengancam sesiapa berada di sekelilingnya. Tetapi sebenarnya burung ini mengandungi racun yang boleh mematikan sesiapa sahaja yang berada dekat dengannya.
Ini kerana burung ini mempunyai sejenis racus iaitu Batrachotoxin iaitu berasal daripada makanannya seperti serangga Melyridae. Racun ini mampu melumpuhkan beberapa bahagaian badan bagi sesiapa sahaja yang menyentuh burung ini secara langsung.
Berasal dari Papua Nuigini, Indonesia, burung ini dilihat berwarna hitam pada bahagian kepala, ekor dan sayap manakala di bahagian perutnya berwarna oren.
Barred Owl
Mempunyai habitat di sebahagian besar Amerika Syarikat dan Kanada, burung barred owl ini mampu terbang tanpa mengeluarkan suara untuk mengelakkan daripada dikesan oleh mangsa.
Burung ini boleh membunuh mangsanya dengan mencengkam kepala menggunakan cakarnya. Cakarnya tersebut akan dicucuk ke dalam kepala mangsa untuk mematikannya.
Di Amerika Syarikat, ada satu kes melibatkan burung ini apabila unggas ini bertindak menyerang manusia dan menyebabkan kematian. Beberapa siasatan dilakukan dan mendapati mangsanya itu telah mengganggu dan menyebabkan unggas ini berasa terancam.
Burung Emu
Berada dalam keluarga burung sama seperti kasuari dan burung unta, burung ini boleh berlari sejauh hampir 50 km per sejam sekiranya berada dalam keadaan terancam.
Unggas ini mempunyai badan yang besar, tegap dan kaki yang tinggi berserta jari kaki yang besar. Sama seperti burung unta, burung emu ini boleh menendang menggunakan kaki yang mempunyai tiga jari yang besar.
Burung Unta
Burung ini sering dilihat secara berseorangan, berpasangan atau dalam kumpulan yang besar bergantung pada musim. Burung unta ini dikatakan unik kerana memiliki dua jari kaki dengan jari kaki utama yang dikembangkan sebagai hoof untuk melepaskan diri daripada musuh terutamanya manusia dan karnivor.
Apabila berada dalam keadaan terancam dan ketakutan, burung ini boleh berlari dengan kelajuan 72.5 kilometer per jam. Dan apabila ia berada dalam keadaan yang terancam, burung ini juga boleh melakukan tendangan yang berbahaya di mana ia boleh membunuh singa dan pemangsa besar yang lain.
Burung Kasuari
Kalau tengok burung ini, pasti sesiapa sahaja berasa takut dengannya. Burung ini dikatakan boleh membunuh sesiapa sahaja dengan hanya menghayunkan kakinya sahaja.
Ini kerana 3 jari kakinya mempunyai paku belati yang panjang yang berbahaya dan boleh membawa maut. Burung ini mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan disebabkan oleh itulah unggas ini sering menyerang sesiapa sahaja dari semasa ke semasa.
Satu kejadian di Australia, burung ini telah dikatakan melompat ke atas seorang lelaki dan membunuh mangsanya dengan memotong urat leher menggunakan kukunya.
Burung Lammaergeier
Unggas ini adalah seekor burung hering di mana namanya, Lammaergeier membawa maksud sebagai pemburu kambing dalam bahasa Jerman.
Burung ini membesar melebihi 1 meter dengan sayapnya yang melebar hampir 3 meter. Burung hering ini boleh dijumpai di pergunungan Asia Tengah dan timur Afrika sehingga Sepanyol.
Gemar memakan bangkai terutamanya bahagian tulang, burung ini akan melepaskan makanannya itu dari ketinggian hampir 80 meter ke atas batu untuk pecahkan sebelum makan.
Untuk elakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini, lebih baik elakkan unggas-unggas yang berbahaya ini sebelum nyawa kamu terancam.