Kisah keperitan hidup Puteri Balqis yang disiarkan dalam sebuah program televisyen tempatan baru-baru ini, mendapat perhatian ramai pihak.
Penyakit yang dideritainya serta kesukaran ibunya Norashikin Mohd Aziz mengumpul dana bagi kos perubatan, persekolahan dan melangsungkan kehidupan membuatkan ramai pihak tampil memberi bantuan.
Antara yang tampil memberi bantuan adalah Datuk A Aida, dengan menawarkan tawaran berlakon bagi projek telefilem. Tetapi baru-baru ini pelakon cilik Puteri Balqis Azizi, 13 tahun menarik diri dari projek telemovie pada saat akhir.
Projek telefilem yang berjudul ‘Tiada Galang Ganti’ terbitan syarikat produksi A Aida production Sdn Bhd, yang dijadualkan akan bermula penggambaran pada hari ini terpaksa mencari pelakon ganti.
Penerbit produksi Datuk A Aida, terkejut dengan keputusan Puteri Balqis di atas penarikan diri pada saat akhir. Meskipun begitu, penerbit produksi popular ini tidak menyalahkan pelakon cilik tersebut kerana tawaran yang diberikan atas dasar ingin membantu.
“Saya okay dan tidak jadi isu besar pun. Apa yang pasti, saya sudah cuba bantu mana yang terbaik. Apabila dia sendiri tarik diri pada saat akhir, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Saya tidak mahu masuk campur,” ujar Aida.
Tohmahan Tidak Benar Antara Punca
Berikutan susulan penarikan diri Puteri Balqis secara tiba-tiba membuatkan ramai tertanya-tanya punca pelakon cilik membuat keputusan sedemikian. Menurut sumber dari Harian Metro yang menghubungi ibu Puteri Balqis, Norashikin memberi penjelasan.
Antara punca penarikan diri Puteri Balqis adalah kerana tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh segelintir pihak, yang mendakwa Norashikin dan bekas suaminya terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Saya dan Aqish (Balqis) jadi penat dengan fitnah ini. Berat sangat dugaan kami. Janganlah fitnah saya begini.
Saya tidak pernah ambil dadah atau buat perkara itu di lokasi penggambaran. Jangan disebabkan penampilan saya yang kurus dan ‘serabai’ orang fitnah saya sedemikian rupa.
Saya tidak ada masa nak bersolek dalam keadaan anak saya sebegitu,” ujar Norashikin.
Menurut Norashikin lagi, dirinya dan bekas suami tidak pernah terlibat atau terbabit dengan dadah dan berharap fitnah ini di hentikan. Gara-gara fitnah ini jugalah antara Puteri Balqis tidak mahu berlakon.
Oleh kerana tohmahan yang tidak benar, membuatkan pelakon cilik ini tidak mahu berlakon buat masa sekarang, dan ibunya (Norashikin) memohon maaf kepada A Aida Production atas masalah yang berlaku.
Sebelum ini, Puteri Balqis memuat naik luahan hati di Instagram berkenaan tuduhan segelintir pihak yang menyatakan ibunya mengambil dadah.
Hentikanlah tuduhan yang tidak benar dan hormati keluarga Puteri Balqis. Letakkan diri anda di tempat mereka, bukan mudah dua beranak ini menjalani kehidupan tambahan lagi dengan penyakit yang dideritai oleh pelakon cilik ini memberi tekanan besar. Semoga adik Balqis dan ibunya tabah menjalani ujian.
Ingat lidah yang tidak bertulang itu lebih tajam daripada mata pedang!