Jika sebelum-sebelum ini jenama sneakers popular seperti Nike, Vans, Puma dan sebagainya sering diangkat dan dilihat mahsyur kerana mampu berkolaborasi dengan nama-nama besar industri fesyen, kini giliran Bata pula menginjak dengan kemunculan rekaan kolaborasi terkininya untuk musim bunga bersama minuman soda kegemaran ramai, Coca-Cola.
Istimewa untuk sneakers model Bata Tennis dan Hotshot, Bata nampaknya mengejutkan semua dengan kemunculan rekaan sepatu yang lebih segar -pastinya mampu menangkap hati muda-mudi yang gemarkan kelainan dalam pemilihan fesyen mereka.
Terdahulu, sneakers model ini di bata cuma ditawarkan dalam rona putih atau hitam polos yang lazimnya dipakai oleh pelajar-pelajar sekolah namun kini, pembaharuan telah diterapkan bagai anjakan paradigma untuk jenama berasal dari Switzerland itu.
Untuk koleksi kolaborasi Bata x Coca-Cola ini, rekaan model Bata Tennis telah digantikan dengan nama “The Signature”, yang turut hadir bersama tali kasut, tapak getah putih serta bahagian hadapan getah yang juga sedondon.
Koleksi model Hotshot yang merupakan antara sepatu kegemaran legenda muzik Curt Cobin pula telah diberi nama baharu iaitu “The Real Thing” yang mengetengahkan rekaan lebih hip apabila turut dilengkapi logo pada bahagian tumit serta sisi kasut, berasaskan material kanvas putih serta perincian jelujur merah pada tali kasut.
Rekaan minimalis itu juga turut diserikan dengan tagline ‘The Real Thing’ yang menghiasi bahagian hujung tapak berhampiran kawasan tumit untuk aura lebih gah buat si pemakai.
Bagi yang berminat, koleksi gabungan The Coca Cola + Bata Heritage untuk musim bunga/panas 2019 ini akan mula dipasarkan sekitar Malaysia pada 15 Mac dan dijual secara eksklusif di Bata Suria KLCC dan [bata.com.my] pada harga RM199 hingga RM299.