Seorang wanita yang bekerja sebagai kerani telah hilang selepas keluar dari rumahnya di Desa Sri Puteri, Jumaat lalu.
Shareen Naz Niaz Akhtar, 21, keluar dari rumah pada jam 8.30 pagi untuk ke tempat kerjanya di Kuchai Lama.
Kakaknya, Norinnahs Niaz Akhtar, 25, memberitahu kebiasaannya adiknya akan menaiki motosikal untuk ke tempat kerja.
“Semasa hari kejadian Shareen memakai baju hitam dan seluar ‘legging’ dan akan pulang dari tempat kerja kira-kira jam 6 petang.
“Namun dia tidak juga pulang, saya dan keluarga menunggu selama dua hari tapi dia masih tidak pulang juga,”katanya ketika ditemui BH semalam.
Norinnahs berkata, satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Salak Selatan Baru bagi meminta bantuan polis untuk menjejaki adiknya.
“Shareen seorang yang pendiam memandangkan dia adalah anak bongsu dari tiga beradik, selalunya jika mempunyai masalah dia akan berkongsi dengan kakak yang sulung.
“Pada hari berkenaan dia tidak menunjukkan sebarang reaksi yang mencurigakan dan jika dia mempunyai masalah hanya satu sahaja, iaitu bekas teman lelakinya pernah mengugut untuk menculik dia selepas mereka putus hubungan pada Januari tahun lepas.
“Keluarga kami juga sudah cuba menghubungi rakan-rakannya tetapi tiada seorang pun tahu kedudukan dia tambahan lagi, telefon bimbit miliknya sudah ditutup.
Diharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Shareen segera menghubungi Norinnahs di talian 0163466553 atau mana-mana balai polis berhampiran.