Ramai yang sedar akan kolaborasi Rihanna bersama jenama barangan sukan ternama PUMA selama ini sememangnya berjaya mewujudkan suatu keghairahan dalam kalangan peminat fesyen ranggi dan sporty.
Untuk musim ini, Rihanna bingkas aktif menerapkan gabungan elemen fesyen jalanan Jepun dan tradisional dengan sentuhan keremajaan sebagai inspirasi utama koleksi FENTY PUMA by Rihanna untuk musim Luruh/Sejuk 2016.
Koleksinya itu buat pertama kali dipersembahkan kepada hadirin yang bukan calang-calang pada acara tahunan yang mengumpulkan para pereka terkemuka antarabangsa bagi menayang hasil rekaan koleksi terbaru mereka setiap musim iaitu pada acara New York Fashion Week yang berlangsung 12 Februari lepas.
FENTY PUMA by Rihanna ini terdiri daripada pakaian, aksesori dan kasut khas buat lelaki dan juga wanita. Ia turut dilihat cuba mengetengahkan perincian dan gaya ala gothic dengan penggunaan palet warna yang agak gelap. Rihanna begitu kreatif mencabar dirinya untuk melenyapkan titik perbezaan jantina lelaki dan wanita dengan mentransformasi pakaian tipikal menjadi sesuatu yang begitu dekat dengan citarasa dirinya.
Antara gaya yang diperkenalkan Rihanna untuk koleksi jalinan dirinya bersama dengan PUMA musim ini adalah jubah kimono labuh, sut padan (Tricot Tracksuits), Korset Jersi Berenda, dress serta baju ketat (bodysuits).
Dalam koleksi pertamanya, Rihanna memainkan ciri dan struktur reka bentuk seperti rekaan baju lengan panjang dan jaket berperincian hoodie (tutup kepala) yang menonjol dan lebar, disertai garisan leher baju yang agak tinggi. Rihanna mengakui, kebanyakkan rekaannya kali ini menggunakan material renda, serta lebihan kain sebagai penambah seri kepada koleksinya.
Pakaian luar seperti Bomber Jacket baldu pula akan memenuhi keperluan fungsi dan ketepatan fesyen yang menarik. Bisa dilihat, setiap helaian yang direka memancarkan aura seksi yang diperkukuh dengan sifat kekuatan.
Rihanna yang merangkap Duta dan Pengarah Kreatif Koleksi Wanita PUMA menjelaskan, “Koleksi kali ini bukan sahaja mewakili diri dan cara saya berpakaian, tetapi juga merangsang diri saya untuk mencipta sesuatu kelainan buat PUMA.”
“Saya mahu PUMA mendapat tempat di hati umum dengan menawarkan sesuatu yang unik dan hebat. Ini adalah gaya fesyen jalanan Jepun yang telah diberi nafas baru. Saya memanfaatkan banyak kaedah tekstur dan garis bentuk bayang (silhouettes) serta menggunakan fabrik jenis mewah. Rihanna tidak sabar untuk berkongsi koleksinya bersama para peminat serta komuniti fesyen antarabangsa.
Tidak lengkap jika jenama PUMA tidak menghasilkan rekaan kasut. Susulan pelancaran PUMA Creeper kegemaran Rihanna, koleksi FENTY PUMA by Rihanna untuk musim Luruh/Sejuk 2016 ini menampilkan rangkaian kasut boot paras betis dan kasut tumit tinggi sneakers.
Bukan itu sahaja, rangkaian koleksi aksesorinya pula banyak menampilkan gaya seperti Beg Bomber Jacket, Beg Pinggang Berbulu yang memiliki dua poket serta penutup kepala bergaya seperti durags, topi dan lain-lain. Rantai choker dan sweatband pula bisa menambah seri kepada gaya pemakaian anda.
Koleksi FENTY PUMA by Rihanna untuk musim Luruh/Sejuk 2016 akan mula berada di pasaran pada September depan. Untuk maklumat lanjut, sila layari puma.com atau rihannanow.com