Sekarang ini boleh dikatakan terlalu banyak produk pemutihan kulit dijual di pasaran, sama ada dalam bentuk krim, pil, sabun ataupun losyen. Ianya bagaikan goreng pisang panas, apatah lagi iklan di media sosial terlalu banyak sehinggakan kita jadi pening melihat keputusan kesan pemutihan yang sekejap bila memakainya.
Kebanyakan produk krim pemutihan turut digabungkan bersama bahan tabir suria yang bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kerosakan kulit akibat pancaran terus cahaya matahari. Penghasilan pigmen pada kulit sebenarnya terjadi secara semula jadi iaitu faktor genetik.
Walau bagaimanapun ada juga faktor lain yang boleh menyebabkan penghasilan pigmen berlebihan seperti akibat pendedahan pancaran cahaya matahari, masalah kulit hiper-pigmentasi dan pengambilan ubat tertentu.
Amalan memakai losyen atau krim tabir suria ialah kaedah paling mudah dan sering digunakan ramai wanita bagi melindungi kulit daripada pigmentasi akibat UVB dan UVA.
Manakala penggunaan hidrokuinon pula ialah kaedah lama yang kekal digunakan sehingga kini kerana kemampuannya mencerahkan kulit. Kelemahannya ialah ia tidak stabil kerana mudah teroksida dan bertukar warna.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewajibkan setiap produk pemutihan yang mahu dipasarkan perlu mengandungi kurang dua peratus bahan itu kerana kandungan hidrokuinon yang tinggi boleh menyebabkan radang kulit dan kesan terbakar selepas digunakan.
Jadi, apa yang diperhatikan sebelum membeli sesuatu produk pemutihan kulit? Untuk makluman anda, ini antara bahan dan zat kimia berbahaya dalam produk pemutihan kulit.
Hidrokinon (Hydroquinone) – Zat kimia ini berfungsi untuk ‘menyekat’ pengeluaran melanin agar kulit kelihatan lebih cerah. Penggunaan hidrokinon haruslah tidak boleh lebih dari dua peratus dan tidak boleh digunakan secara terus menerus. Penggunaan hidrokinon untuk jangka masa panjang boleh mengakibatkan kesan kepada ginjal, fungsi hati dan leukemia (kanser darah).
Merkuri Atau Raksa – Zat (bahan kimia) ini termasuk logam berat yang beracun meski pun digunakan dalam jumlah kecil. Merkuri berfungsi mengecutkan noda hitam pada kulit seolah- olah menghilangkannya. Jika pemakaian dihentikan, noda hitam tersebut akan timbul kembali bahkan lebih lebar. Merkuri yang dioleskan pada kulit dapat meresap melalui aliran darah. Kesan jangka pendek penggunaan merkuri dalam produk pemutihan kulit antaranya iritasi kulit, mual dan muntah. Kesan jangka masa panjang penggunaan merkuri boleh mengakibatkan kerosakan saraf otak, ginjal, kanser, alzheimer, parkinson dan gangguan perkembangan janin. Nama merkuri yang biasanya terdapat dalam produk pemutihan kulit ialah Hg, klorida mercurous, klorida amida dari merkuri, cinnabaris, hydrargyri oxydum rubrum dan merkuri iodide.
Rhodamin B – Bahan kimia ini memberikan kesan merah pada wajah. Rhodamin boleh mengganggu saluran pernafasan, menyebabkan kanser dan kerosakan hati.
Tretinoin (retinoic acid) – Zat kimia ini boleh menyebabkan kulit kering dan rasa terbakar. Bahan ini biasanya terdapat pada produk pemutih dan produk anti jerawat.
Selain penggunaan produk sedemikian, anda boleh juga amalkan rutin penjagaan secara semulajadi yang boleh dikatakan lebih selamat penggunaannya.
- Perbanyakkan pengambilan ikan salmon dan sayur-sayuran hijau seperti bayam kerana lemak baik yang terkandung dalam ikan salmon dan sayur-sayuran boleh membuatkan sel kulit yang terbakar diperbaharui semula.
- Untuk penjagaan kulit badan, apabila kulit dimamah matahari, gunakanlah pelembab kulit bagi mengembalikan tona kulit asal. Bila perlu, saat mandi tambah serbuk penaik (baking soda) dalam air mandian. Lalu cuci kulit yang terbakar dengan air tersebut. Air tersebut akan meringankan rasa sakit akibat selaran cahaya matahari.
- Amalkan vitamin C serta vitamin E secara rutin untuk mengembalikan kecantikan serta kesegaran kulit anda. Dan jangan lupa gunakan sunblock untuk melindungi kulit dari sinar matahari secara langsung kerana sinar matahari tidak selamanya baik untuk kesihatan kulit.