Perlis sedang berusaha memudahkan prosedur pendaftaran perkahwinan bagi pasangan Islam yang berakad nikah diluar negara sebagai langkah menyelesaikan perkahwinan poligami yang tidak berdaftar.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Khairi Hassan berkata langkah itu bertujuan menggalakkan orang Islam yang diakad nikah di luar negara, terutamanya di selatan Thailand, untuk mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata kerajaan negeri berharap langkah itu akan menyelesaikan isu-isu yang timbul mengenai waris, pendaftaran kewarganegaraan anak dan lain-lain. Jabatan Agama Islam Negeri sedang berbincang untuk meringkaskan prosedur syariah. Iaitu hanya memberi dokumen yang diperlukan dan bayaran kompaun.
“Jika perbincangan berjalan lancar dan diluluskan oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi, kami akan melaksanakan prosedur baru ini paling awal tahun hadapan. “Dibawah prosedur baru ini, pasangan hanya perlu menyediakan dokumen yang lengkap berkaitan dengan perkahwinan mereka di luar negara dan membayar kompaun yang ditetapkan oleh jabatan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.
“Buat masa ini, kita masih belum membuat keputusan mengenai jumlah kompaun tetapi besar kemungkinan ianya berjumlah kira-kira RM2,000 bagi setiap pasangan” terang beliau kepada media di luar sidang penggal keempat Dewan Undangan Negeri ke-13.
Khairi berkata jabatan itu juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan lelaki Islam bukan berasal dari Perlis yang ingin berkahwin lagi boleh dilakukan di negeri ini dan tidak perlu menyeberang ke negara jiran. “Kami sedang mengkaji cadangan itu dan boleh menetapkan syarat bahawa pasangan itu perlu tinggal di Perlis selama lebih tiga hari.”
Khairi memaklum terdapat sejumlah besar permintaan tidak rasmi yang diterima daripada orang luar Perlis untuk mendapatkan perkahwinan poligami mereka berdaftar dinegeri ini. Beliau menjelaskan lagi pada masa ini, undang-undang perkahwinan Islam negeri tidak menghendaki lelaki tempatan untuk mendapatkan keizinan daripada isteri untuk berpoligami.
“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah meluluskan permohonan perkahwinan yang baru, surat pemberitahuan akan dikeluarkan kepada pasangan (isteri pertama) yang mempunyai hak untuk menolak perkahwinan baru itu di mahkamah sebelum meneruskannya.”
Terdahulu di dewan, Khairi (BN-Mata Ayer) pernah disoal mengenai cadangan ini oleh Mohd Syukri (Pas-Sanglang) tentang langkah yang diambil oleh kerajaan negeri tentang prosedur memudahkan urusan berpoligami di Perlis.