Penduduk di bandar Fairbanks, Amerika Syarikat gempar selepas beberapa ekor belut penghisap darah dijumpai jatuh dari langit pada minggu lalu.
Beberapa penduduk melaporkan penemuan belut yang masih hidup di tempat letak kereta sebuah pasar raya dan laman rumah mereka. Penduduk percaya belut yang mempunyai gigi yang tajam itu jatuh dari langit, kerana lokasi kejadian terletak jauh dari tasik mahupun sungai.
Bagaimanapun, Jabatan Perikanan Alaska memberitahu, belut itu adalah dari spesies lamprey dan ia tidak berbahaya kepada manusia. Jabatan itu percaya belut jatuh dari mulut burung yang terbang selepas menangkap ikan di kawasan sungai berhampiran bandar tersebut.
Lamprey sejenis haiwan parasit yang menggunakan giginya yang tajam untuk melekat pada insang atau badan ikan. Belut itu melukakan badan ikan untuk menghisap darah yang dijadikan sumber makanan utamanya.
Walaupun dilihat menggerunkan, tetapi Lamprey sejenis makanan yang popular di Alaska kerana rasanya yang enak dan tidak bertulang. – Agensi
Sumber: Harian Metro