Penyanyi kumpulan rock terkenal, Search, Amy, 57, kecewa dengan tindakan seorang penceramah motivasi lelaki yang telah melabelkan kumpulan Search sebagai punca kepada keruntuhan moral segelintir belia di negara ini apabila mereka mengadakan persembahan di Festival Belia Putrajaya 2015 di Putrajaya, malam Ahad lalu.
Lelaki terbabit telah memuat naik status “Setelah bertahun-tahun negara sambut Hari Belia Negara, belia-belia kita menjadi semakin teruk kerana hantu-hantu macam ni yang menjadi pengisinya” di laman Facebook, Ahad lalu.
Tindakannya melabelkan Search sebagai ‘hantu’ bukan saja mengecewakan Amy dan Search, malah mengundang kecaman daripada peminat Search.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh seorang lagi anggota Search iaitu Nasir yang juga pemain bass.
“Sebagai penceramah motivasi, dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan begitu. Kami menyertainya (Festival Belia) kerana kami menyokong program untuk belia. Kita saling tolong-menolong.
“Lagipun program itu mengetengahkan banyak aktiviti positif untuk belia. Kami bukannya nak jadikan mereka ‘hantu’,” katanya ketika dihubungi, petang kelmarin.
Sementara itu, pakar motivasi terbabit memadamkan status kontroversi berkenaan awal pagi kelmarin selepas menerima ratusan komen mengecam tindakannya itu. Katanya, beliau mengambil keputusan memadamkan status di Facebook itu atas nasihat orang ramai.
“Semoga kita dapat ‘move on’ dengan agenda perjuangan masing-masing dan meneruskan tugas penciptaan kita di atas muka bumi ini, Insyaallah,” katanya menerusi Facebook.
Beliau kemudian turut memuat naik permohonan maaf kepada peminat Amy dan Search yang tersinggung dengan kenyataannya sebelum itu. Dalam kenyataan itu, lelaki terbabit juga mendakwa sudah menghubungi pengurus Amy, Nourish Hassan yang juga merupakan isteri Amy dan akan berjumpa dengan Amy untuk meminta maaf.
Amy berkata, Nourish ada memaklumkan perkara itu kepadanya, tetapi belum bersedia untuk berjumpa lelaki berkenaan.
Sementara itu, Amy turut menitipkan kata-kata berikut dalam akaun Instagramnya:
“Kertas putih salju ku coretkan kedukaan ku
Hitam dn kelabu ada lah warna dlm hidup ku
Apa kah jika lagu2 yg ku syairkan itu dpt mengembira hati mereka dn di jadikan sebahgian perjlnan hidup mereka utk berjaya itu satu dosa? Jgn di hina belia2 itu kerna mereka itu sbahgian dri aku dn aku juga sbahgian dri mereka yg punya cita. Tutur kata seorng motivasi itu seharus nya indah lgi mulia.”
Sumber berita: Harian Metro