Rutin yang padat setiap hari menuntut kita sebagai wanita untuk sentiasa aktif dan produktif. Oleh kerana itu, keadaan tubuh yang segar dan bertenaga sangatlah diperlukan. Tujuannya agar kita boleh menjalani berbagai aktiviti sepanjang hari tanpa sebarang masalah.
Selain bersenam dan mengamalkan diet yang sihat, cara lain untuk tampil segar adalah dengan mandi. Kerana, mandi dapat menyegarkan fikiran dan tubuh badan dalam waktu yang singkat. Dalam peradaban manusia moden, ritual mandi sudah menjadi sesuatu yang tidak dapat dipisahkan setiap hari.
Namun, siapa sangka ritual yang biasa kita lakukan ketika mandi, boleh jadi tidak betul ataupun berlebihan.
Nah, kami kongsikan lima kesalahan yang sering dilakukan wanita ketika mandi:
1. Mencuci rambut tanpa menyisirnya terlebih dahulu
Sebaiknya, anda menyisir rambut anda terlebih dahulu sebelum mencuci rambut agar rambut tidak rosak. Cara ini dapat membantu menghindarkan rambut yang kusut dan rosak di kemudian hari. Jika rambut anda mudah kusut, gunakan sikat bergigi jarang setelah mengaplikasikan perapi rambut agar rambut anda tetap lembut. Kemudian, bilas secara rata.
2. Mencuci rambut setiap hari
Hakikatnya, semakin kerap anda mencuci rambut, maka kulit kepala anda akan semakin berminyak kerana penghasilan minyak secara berlebihan. Sebaliknya, cucilah rambut anda dua hari sekali. Dengan demikian, kadar penghasilan minyak adalah normal dan rambut akan sihat dan berkilau.
Namun, sekiranya kebiasaan mencuci rambut setiap hari susah untuk anda buang. Cubalah mencuci rambut anda dengan dry shampoo.
3. Mandi sambil menggosok gigi
Kebiasaan ini sering dilakukan ramai orang, terutamanya jika sedang terburu-buru. Namun, mandi sambil menggosok gigi membuatkan anda tidak benar-benar memperhatikan kebersihan gigi anda. Pastikan anda menggosok gigi selama dua minit.
4. Terlalu kerap “scrubbing”
Ramai yang berpendapat, mandi sambil menggosok tubuh atau scrubbing dapat membersihkan kulit secara optimal. Namun, menggosok tubuh secara berlebihan dapat membuatkan kulit lebih berminyak, sehingga semakin banyak kotoran dan bakteri terperangkap dalam kulit. Sebaiknya, gosoklah tubuh anda secara lembut hanya beberapa kali dalam seminggu.
5. Mandi dengan air panas
Mandi air panas merupakan rutin mandi terbaik buat anda yang sering pulang kerja lewat malam atau ketika cuaca sejuk. Namun, jika anda kerap mandi menggunakan air yang terlebih panas, maka ia akan mendorong beberapa masalah kulit, seperti kulit kering dan gatal-gatal.
Jadi, mari sama-sama amalkan mandi secara betul agar ia dapat memberi manfaat tebaik buat tubuh kita.