Menyebut nama yang mengandungi tujuh perkataan dengan 53 huruf mungkin sesuatu yang menyukarkan terutama sekali ketika ingin melafazkan akad nikah, tetapi itu tidak menjadi masalah kepada Kamalrrudin Ahmad, 31. Beliau telah membuktikan bahawa beliau tidak ‘goyang’ menyebut nama Siti Normayatullah Rabiyatul Arbiah Maizurati Armida Puteri Md Arif, 18, sebelum sah bergelar suami dengan hanya sekali lafaz pada majlis akad nikah mereka, 12 Disember yang lalu.
Kamalrrudin berkata, meskipun nama isterinya sangat panjang, beliau tidak mempunyai masalah menyebutnya dengan lancar ketika akad nikah.
“Ramai juga kenalan yang bertanya bagaimana saya akan menyebut nama isteri dengan sekali lafaz akad nikah.
“Bagi saya, itu semua tiada masalah kerana saya berlatih menyebut nama isteri beberapa hari sebelum majlis akad nikah berlangsung,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Sawah Dalam, Pekan Nenas, di sini, semalam.
Sebelum ini, kad jemputan pasangan berkenaan telah menjadi ‘viral’ kerana keunikan nama Puteri.
Sementara itu, menurut sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tiada halangan untuk mendaftaftarkan nama yang panjang asalkan nama berkenaan tidak lebih 80 aksara meliputi ruang kosong, bin, binti dan nama bapa. Sebelum ini, JPN pernah memaklumkan nama Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah Airom Anizam sebagai nama terpanjang di Malaysia.
Sumber: Harian Metro