Ketupat, lemang, rendang, nasi impit, kuah kacang, laksa dan banyak lagi juadah raya akan terhidang. Lebih-lebih lagi bila anda memenuhi jemputan rumah terbuka, lepas satu rumah ke satu rumah anda kunjungi, langsung tidak hiraukan kesihatan. Betul, tak salah nak nikmati semua hidangan malah raya setahun sekali sahaja tetapi kesihatan harus dititikberatkan juga.
Menurut Ketua Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Aryati Ahmad menjelaskan juadah yang disediakan di rumah terbuka kebanyakannya mengandungi kandungan lemak dan gula yang tinggi.
Minuman ringan bergas, air kordial, biskut raya, kek dan tapai kalau diambil berlebihan boleh meningkatkan gula dan lemak darah selain boleh menambah berat badan akibat kandungan kalori yang tinggi.
Katanya makanan berat seperti nasi minyak, nasi tomato, nasi dagang dan rendang pula mempunyai lemak tepu yang jika diambil berlebihan boleh menyebabkan peningkatan tahap kolestrol, kolestrol ‘jahat’ atau ‘low density lipoprotein’ dan lemak dalam darah.
Ini menyebabkan masalah kesihatan seperti pedih ulu hati, sembelit, gastrik akibat pengambilan makanan dan cara makan yang salah.
3 langkah praktikal yang boleh diambil sebelum mengunjungi rumah terbuka untuk mengawal pengambilan makanan berlebihan.
- Meminum air kosong
- Tidak menghadiri rumah terbuka ketika lapar
- Menggunakan pinggan dan gelas yang kecil – hanya sekadar ingin merasa juadah/tanda menghormati tuan rumah
Bernama