Pengacara kontroversi dan sensasi, Azwan Ali telah membuat pengakuan kepada Sinar Harian Online bahawa dirinya telah dibayar ribuan ringgit oleh pihak Astro hanya untuk “memaki hamun” peserta lain Masterchef musim kedua ketika beliau menyertai program realiti tersebut.
Pengakuan pengacara tersebut sekaligus mendedahkan yang dirinya dibayar untuk mencetuskan suasana “panas” dan “kecoh” yang pada pandangan kami mungkin untuk menaikkan rating dan menarik perhatian penonton rancangan tersebut.
Berdasarkan pengakuan yang dibuat dibuat di Sidang Media Program-program Astro Sempena Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa di Hotel Royal Chulan itu, Azwan Ali sebenarnya untuk mahu menegakkan yang dirinya masih lagi laris dan rezekinya juga tidak putus, bukan sedang merudum seperti yang dianggap sesetengah pihak.
“Sudah 25 tahun saya jadi artis. ALLAH itu Maha Mengatur semuanya. Saya pernah naik, saya pernah jatuh. Tapi di saat saya jatuh, saya tak terduduk. Orang saja anggap yang saya terduduk. Saya tahu pada ketika itu, musuh-musuh saya semua bertepuk tangan.
“Tapi hakikatnya orang tak tahu yang rezeki saya tidak pernah putus. Bila agak lama saya tidak muncul di mana-mana program TV, orang bertanya pada saya, “Kau dah lama tak keluar tv. takde ‘job ‘eh, kau buat apa? Memang itu soalan yang berbisa untuk saya telan.
“Saya akui saya memang pernah tidak dapat apa-apa tawaran. Tapi ALLAH Maha Kaya. Pihak Astro pernah tawarkan saya tugas memaki hamun para peserta MasterChef Selebrti untuk musim dua tahun lepas. Untuk’ job’ itu saja, saya dibayar ribuan ringgit,”
Wah,rupanya tinggi “nilai” mulut laser Azwan Ali ni. Seperkara lagi, nampaknya memang terbukti banyak “lakonan terancang” dalam program-program realiti TV ni.