Seram! Kejam! Pelbagai lagi perasaan yang tidak dapat digambarkan apabila baca tentang kisah rumah tangga pasangan yang baru kahwin punah hanya kerana cemburu buta. Hal yang terjadi di Kangar melibatkan sepasang suami isteri yang baharu seminggu berkahwin sering bertengkar, puncanya kerana si suami dikatakan cemburu melampau lantaran mengesyaki isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain.
Pada masa mereka sepatutnya menikmati hidup bahagia berbulan madu perkara lain pula yang terjadi. Difahamkan perasaan cemburu dipercayai tidak terkawal lagi hingga dia dikatakan bertindak melampaui batas cuba membakar wanita itu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Abi, Padang Machang di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
“Pada masa kejadian, seorang jiran mendengar pasangan itu bergaduh besar sebelum bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan kerana risau berlaku perkara tidak baik. Dia terkejut apabila melihat suami isteri itu terbakar di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek yang juga seorang penganggur berusia 23 tahun itu, dipercayai menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum bertindak mencucuh dengan menggunakan pemetik api.
“Namun api turut menyambar kaki dan tangannya mengakibatkan dia sendiri turut mengalami kesan terbakar kira-kira 20 peratus,” katanya.
Menurut Abdul Rahman, mangsa pula mengalami kecederaan akibat terbakar kira-kira 85 peratus berikutan api menyambar bajunya menyebabkan bahagian pinggang dan kakinya terbakar. Katanya, beberapa jiran menolong memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan bomba dan penyelamat.
Mangsa dihantar ke Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan rapi sementara suspek masih berada di Hospital Tuanku Fauziah dan akan direman untuk membantu siasatan.
Sinar Harian