Sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Paru-paru, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Pfizer Malaysia telah meningkatkan usaha untuk memacu usaha berhenti merokok. Ia dilakukan dengan menghasilkan sebuah filem web motivasi iaitu “Berhenti Merokok Seperti Seorang Juara!” (Quit Like a Champ!) ketika melancarkan Kempen Anti Merokok yang turut menampilkan pengamal seni bela diri, Peter Davis.
Di seluruh dunia, anggaran seramai 5 juta orang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan rokok setiap tahun. Di Malaysia, Kanser Paru-paru merupakan kanser kedua yang paling biasa dialami oleh golongan lelaki. Ia juga menjadi kanser ketiga paling biasa dengan 2,100 orang rakyat Malaysia didiagnos setiap tahun.
Dianggarkan seorang daripada 10 orang perokok mendapat kanser paru-paru dan lebih 90% kanser paru-paru disebabkan oleh merokok. Lebih 4.1 juta golongan dewasa dan 126,000 kanak-kanak di Malaysia terus menggunakan tembakau pada setiap hari.
Biarpun dengan statistik itu, usaha berterusan oleh kementerian dan syarikat-syarikat korporat dalam menguar-uarkan kesan buruk dan pentingnya menghentikan tabiat merokok, merawat ketagihan nikotin malangnya tidak diberi perhatian serius oleh para perokok di Malaysia. Malah, perokok seolah-olah imun dengan pelbagai jenis kempen anti merokok dan mesej yang berulang-ulang tentang kesan merokok ke atas kesihatan mereka.
Selari dengan visinya untuk ‘hidup dalam dunia yang bebas kanser’, NCSM dilihat aktif dalam memberi pendidikan tentang risiko kanser paru-paru akibat merokok. Persatuan ini sangat menggalakkan perokok supaya mencuba perkhidmatan dan program berhenti merokok, di samping mencuba teknik-teknik yang terbukti berkesan. Antaranya termasuklah kaunseling, perubahan sikap yang digabungkan dengan terapi oral dan banyak lagi.
Menerusi kempen Anti Merokok “Berhenti Merokok seperti Seorang Juara!”, NCSM dan Pfizer akan memberikan Kit Berhenti Merokok kepada 100 orang terawal yang benar-benar mahu berhenti merokok. Setiap satu Kit Berhenti Merokok itu mengandungi terapi oral (varenicline), sebuah Booklet Berhenti Merokok, sekeping kad sokongan dengan senarai klinik berhenti merokok di Lembah Klang dan sebiji bola untuk mengurangkan tekanan.
Berkongsi matlamat yang sama serta usaha yang bersepadu, NCSM dan Pfizer Malaysia telah menghasilkan sebuah web filem ‘Berhenti Seperti Seorang Juara’ penuh motivasi untuk menggalakkan perokok supaya mendapatkan rawatan berhenti merokok. Web filem itu membawa para penonton menyusuri perjalanan kesedaran diri seseorang individu untuk melawan ketagihan terhadap nikotin.
Hanya berdurasi dua minit, kisah itu menyaksikan Peter Davis melawan lawannya yang paling kuat – dirinya sendiri. Ia menunjukkan bahawa dengan keinginan dan kesungguhan, seseorang boleh menjadi lebih kuat dan bebas (daripada nikotin dan ketagihan) melalui bantuan perubatan yang betul iaitu program dan perkhidmatan berhenti merokok.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan berhenti merokok yang ditawarkan oleh Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), sila layari laman web:www.cancer.org.my