Syarikat ArKay Beverages yang sebelum ini melancarkan barisan produk minuman keras halal tanpa alkohol, kini mengembangkan lagi perniagaannya dengan mencipta minuman vodka dan wiski halal.
Difahamkan dua produk tersebut dijangka bakal menembusi pasaran Eropah tahun hadapan. Produk-produk Arkay sebelum ini berjaya menarik minat penggemar yang rata-ratanya adalah orang Islam, wanita mengandung dan pemandu tegar yang merupakan golongan yang tidak boleh mengambil minuman beralkohol.
Menurut presiden Arkay, Sylvie Grattagliano, wiski dan vodka halal akan mula dijual pada tahun 2015 di negara-negara seperti Itali, Sepanyol, Jerman, Belanda, England serta negara yang mempunyai populasi orang Islam teramai di Eropah Barat iaitu Perancis.
Selain vodka dan wiski, Arkay akan turut mengeluarkan minuman keras halal tanpa alkohol jenis brandi, gin, amaretto dan blue curaçao. Jenama ArKay buat masa ini boleh didapati di Amerika Syarikat, Australia, Mexico serta mula mendapat tempat di sekitar Eropah. Kebanyakan penggemar jenama Arkay berkata, mereka membeli produk ini kerana rasanya yang menarik dan tidak membahayakan kesihatan seperti pengambilan minuman keras.
Astro Awani