Menurut Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Muhamad Baderudin, umat Islam yang meninggal dunia dalam tragedi pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada Khamis lalu mendapat Syahid Akhirat (ia dikategorikan sebagai syahid akhirat kerana ditimpa kemalangan)
Apakah beza syahid dunia dan syahid akhirat?
Orang yang mati syahid sebenarnya ada 3 golongan iaitu syahid pada hukum dunia dan Akhirat, syahid pada hukum dunia dan syahid pada hukum Akhirat. Mati syahid adalah kurniaan yang paling berharga terhadap sesiapa saja yang dipilih oleh Allah swt. Ganjaran untuk orang yang mati syahid sangat besar sehingga dicemburui oleh manusia lain di padang Mahsyar. Ulama mengkategorikan orang yang mati syahid kepada tiga bahagian berdasarkan rumusan hadis-hadis Rasullulah berkenaan orang yang mati syahid . Nabi saw sendiri tidak menamakan setiap kategori dengan istilah khusus seperti mana dinyatakan ulama.
Syahid dunia dan akhirat ialah syahid dalam pertempuran menentang musuh di medan pertempuran kerana menegakkan kalimah Allah. Orang yang mati syahid sebegini tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disolatkan menurut jumhur ulamak. Di Akhirat nanti ia akan memperolehi balasan istimewa dari Allah SWT. Ia juga selamat dari soal kubur. Orang yang mati Syahid kerana memperjuangkan agama Allah seperti penduduk Palestin menentang Yahudi mereka itu Syahid Dunia dan Akhirat.
Ulama meletakkan beberapa syarat untuk kategori syahid dunia akhirat antaranya perang itu adalah perang yang diistiharkan oleh pemerintah Islam menentang golongan kafir di medan jihad. Perang saudara sesama umat islam tidak dikategorikan dalam bahagian ini . Begitu juga antara orang islam dengan bukan islam tetapi bukan sebab agama seperti rusuhan kaum berebut kawasan, pertikaian berhubung dasar, polisi tertentu dan sebagainya
Syahid pada hukum dunia ialah orang yang mati kerana berperang menentang orang-orang kafir tetapi telahpun mendapat gaji dari peperangan yang dilakukannya atau mendapat bahagian harta rampasan dari peperangan tersebut atau orang yang mati kerana memerangi golongan kafir dalam keadaan riya’ dan lain-lain.
Syahid pada hukum akhirat ialah seperti orang yang dibunuh secara zalim, orang yang mati kerana mengalami penyakit dalam perut, orang yang mati kerana penyakit taun, orang yang mati tenggelam, orang yang mati dalam keadaan dagang / musafir, orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu, orang yang mati kerana menahan rindu, mati kerana melahirkan anak dan sebagainya. Di dunia orang ini dikafan dan disolatkan. Di Akhirat ia akan mendapat pahala khusus dari Allah.