Sebuah syarikat penerokaan Australia mendakwa kemungkinan menemui bangkai pesawat MH370 yang hilang enam minggu selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Syarikat GeoResonance menyatakan bahawa ia melakukan pencarian sendiri pesawat tersebut sejak 10 Mac, dan telah mengesan objek yang berkemungkinan bangkai pesawat di Teluk Bengal, 5000 kilometer dari kawasan pencarian sekarang iaitu selatan Lautan Hindi.
Pencarian GeoResonance itu meliputi 2,000,000 kilometer persegi zon kemungkinan berlakunya nahas, menggunakan imej yang diperolehi dari satelit dan pesawat, dengan pakar-pakar sains syarikat itu menumpukan usaha mereka di utara dari lokasi terakhir MH370 yang diketahui, menggunakan lebih 20 teknologi untuk menganalisis data yang termasuk reaktor nuklear.
Jurucakap GeoResonance, David Pope menjelaskan teknologi yang digunakan pada asalnya direka untuk mencari kepala peledak nuklear, kapal selam walaubagaimanapun pasukannya di Ukraine memutuskan untuk mencuba dan membantu. Pope menambah bahawa GeoResonance telah membandingkan penemuan mereka dengan imej yang diambil pada 5 Mac lalu, tiga hari sebelum MH370 dilaporkan hilang dan mereka tidak mencari apa yang dikesan mereka di tempat itu.
“Bangkai itu tidak ada sebelum kehilangan MH370. Kita bukan cuba untuk mengatakan bahawa ia adalah pasti MH370, bagaimanapun ia merupakan petunjuk yang harus kita ikuti,” kata Pope.
Sementara itu, seorang lagi jurucakap GeoResonance, Pavel Kursa menambah, beberapa elemen yang terdapat dalam pesawat komersial itu dikesan di kawasan Teluk Bengal.
“Kami mengenal pasti unsur-unsur kimia dan bahan-bahan yang membentuk satu Boeing 777, ianya adalah aluminium, titanium, tembaga, aloi keluli dan bahan-bahan lain,” kata Kursa.
Astro Awani, Bernama