Selepas bayi lahir sahaja, mak-mak pasti membedung bayi mereka sebelum tidur.
Membedung bayi sebelum tidur dikatakan lebih mudah untuk membuatkan bayi tidur dengan lena dan elakkan daripada mereka terkejut semasa tidur.
Untuk pengetahuan kamu, kalau mahu bedung bayi bukan boleh sesuka hati membedung. Kamu perlukan teknik yang betul supaya mereka tidak lemas dan tidak kesakitan.
Mengikut perkongsian oleh seorang jururawat ini, beliau hanya menggunakan 4 langkah sahaja untuk membedung bayi supaya tidur dengan lena.
Langkah 1
Pertama sekali, kamu perlu ambil kain atau tuala yang bersih dan besar. Jangan ambil kain yang kasar kerana kulit bayi sangat sensitif dan lembut.
Kemudian, gulungkan secara memanjang.
Langkah 2
Selepas selesai menggulung kain tersebut, baringkan bayi dengan mengiring ke sisi badan.
Kemudian, angkat sebelah kaki bayi dan tindihkan di atas kain seperti bayi tersebut memeluk kain dengan kakinya. Pegang kain yang ditindih dan kelilingkan belakang bayi. Hujung kain tersebut pula, mesti sama kedudukan dengan kepala bayi.
Langkah 3
Bahagian tuala yang berada di depan bayi pula ditarik ke arah bayi. Dan membentuk seolah-olah bayi tersebut memeluk kain itu.
Selepas itu, angkat kepala bayi dan tindihkan kain tersebut di bawah kepalanya. Bagi lebihan hujung kain yang berada di belakang bayi, bawakan ke arah depan. Pastikan kain tersebut tidak longgar.
Langkah 4
Akhir sekali kamu akan nampak seolah-olah bayi tersebut dalam sebuah sarang. Kemudian, tepuk lembut di belakang bayi supaya dia tidur dengan lena.
Mudah sangatkan? Setiap ibu mempunyai cara bedung mereka sendiri, tetapi jika kamu mahu cuba kelainan, apa kata kamu cuba teknik ini? Mungkin ia lebih berkesan dan bayi tidur dengan lebih lama.
Selamat mencuba!