Pernah tak anda berada dalam situasi di mana anda dapat tahu pasangan/suami/isteri rakan baik anda curang tetapi rakan anda langsung tidak tahu menahu akan perkara tersebut? Apa yang perlu dilakukan? Adakah anda akan berterus-terang dengan kawan baik anda atau buat tidak tahu sahaja?
Berikut adalah beberapa tips yang ingin dikongsikan jika anda terlibat di dalam masalah ini.
1. Berterus-terang pada rakan baik
Jika anda memutuskan untuk berterus terang kepada rakan baik anda mengenai perbuatan curang pasangannya, pastikan anda fikir mengenai pro dan kontra.
Kontranya :
- Anda akan dianggap perosak rumahtangga rakan baik anda kerana cuba masuk campur di dalam masalah mereka.
- Mungkin rakan anda akan lebih mempercayai pasangan mereka dan anda akan bergaduh dengan teman baik anda kerana cuba memfitnah pasangan mereka.
Pro :
- Anda dapat menyelamatkan rakan anda daripada terus ditipu pasangan mereka.
- Rakan anda akan berterima kasih pada anda kerana membantu mereka dari terus ditipu dan anda tidak lagi menanggung beban kerana terpaksa berahsia dengan teman baik anda.
Apabila anda berterus-terang pada rakan baik anda, pastikan ayat yang anda gunakan berhemah dan pastikan cerita tidak ditokok tambah. Jika anda mendengar kisah curang ini daripada orang lain, pastikan yang menyampaikan cerita itu tahu yang anda ingin berterus-terang mengenai hal ini pada tuan empunya badan. Rakan baik anda berhak tahu hal ini tetapi terpulang sama ada untuk mendiamkan diri atau melakukan sesuatu.
Selain itu juga, tanya pada rakan baik anda terlebih dahulu jika dia tahu mengenai perbuatan buruk pasangannya. Ada juga yang suka menutup sebelah mata jika pasangan mereka curang dan makan hati. Takut rumah tangga goyah dan menggunakan alasan “demi anak-anak, aku berkorban….”.
2. Berterus-terang pada pasangan rakan baik yang curang
Cara ini mungkin lebih selamat. Jika anda dapat tahu pasangan rakan baik anda curang, sebaiknya beritahu pasangan itu bahawa anda tahu perbuatan tidak baik mereka dan menasihati supaya tidak meneruskan perbuatan terkutuk itu. Jika mereka enggan berubah atau berterus-terang dengan rakan baik anda, barulah anda beritahu pada rakan baik anda mengenai hal ini. Terpulang pada mereka untuk menyelesaikan masalah ini dengan cara mereka sendiri.
3. Dapatkan bukti terlebih dahulu
Jika anda dapat tahu mengenai kes curang pasangan rakan baik anda, lebih baik dapatkan bukti terlebih dahulu dan barulah anda beritahu salah seorang sama ada pada rakan baik anda ataupun temannya yang curang. Kalau bercakap tanpa bukti, nanti jatuh fitnah pula. Sebaiknya jika ada bukti bergambar atau bertulis, lebih baik. Zaman sekarang telefon dan gajet canggih-canggih, jadi mungkin boleh buat video bukti?
4. Tidak masuk campur
Jika anda memilih untuk tidak masuk campur, penulis nasihatkan supaya anda tidak terus menghubungi kedua-keduanya untuk mengelakkan salah faham di kemudian hari. Cuba bayangkan rakan baik anda tiba-tiba dapat tahu mengenai hal curang pasangannya dan anda beritahu yang anda sudah mengetahui lama tetapi tidak memberitahunya… Agaknya apa yang dia rasa? Jadi, untuk mengelakkan pergaduhan dan tersepit ditengah-tengah, cuba elakkan dari rapat dengan kedua-dua belah pihak.
5. Berikan ‘hint’ pada rakan baik anda
Jika anda ingin berterus-terang tetapi anda takut, cuba berikan hint pada rakan baik anda. Contohnya anda nasihati dia supaya berjaga-jaga dengan pasangannya dan tidak terlalu mempercayai. Cuba beri ayat yang seneutral mungkin supaya tidak mengguris hatinya. Zaman sekarang Facebook ada, jadi anda boleh kongsikan status yang berkaitan dengan kes curang.. Mungkin dia boleh berhati-hati?
6. Jika dia tidak mempercayai anda
Jika dia tidak mempercayai anda, beritahu bahawa anda positif mengenai hal curang pasangan rakan baik anda dan telah bercakap mengenai hal ini dengan pasangannya yang curang itu. Selain itu juga, anda juga telah memberitahu yang anda akan berterus-terang jika pasangan rakan baik anda tidak mahu bertanggungjawab dan mengaku kesalahannya. Tidak rugi anda kehilangan persabahatan daripada terus bersubahat dengan kegiatan curang pasangan rakan baik anda.
7. Bantu rakan anda menyelesaikan masalah
Jika dia meminta bantuan anda untuk menyelesaikan masalahnya, berilah bantuan tetapi jangan melebih-lebih pula. Sebaiknya nasihati mereka supaya berbincang di rumah mengenai hal rumahtangga mereka. Jika perlu, minta kedua-duanya mendapatkan nasihat dari pakar kaunseling ataupun di pejabat agama. Pastikan anda tidak menghasut rakan baik anda untuk melakukan perkara yang buruk kerana takut anda bakal disalahkan jika rumah tangga mereka bergolak kelak.
Insyaallah semuanya akan okay!