Untuk pengetahuan anda, kajian yang dilakukan oleh seorang pakar penyelidik daripada Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, Dr. Jairam K.P. Vanamala mendapati, pengambilan buah anggur dalam diet makanan harian dapat mengurang risiko individu daripada penyakit kanser.
Perkara tersebut berlaku disebabkan oleh kewujudan sel resveratrol di dalam kulit dan biji anggur yang dipercayai mampu membunuh sel kanser.
“Menerusi kajian yang dilakukan, kami dapati sel resveratrol yang terdapat di dalam anggur mampu mencegah dan mengubat individu yang diserang kanser usus. Malah, kombinasi unik di dalam anggur juga tidak akan menyebabkan penularan penyakit-penyakit berjangkit yang lain,” jelasnya.
Bagaimanapun, jelas Vanamala lagi, kajian tersebut masih lagi diperingkat awal dan memerlukan penyelidikan lanjut.
“Jika penemuan ini berhasil, kami akan mengolahnya menjadi ubat dalam bentuk pil bagi menghilangkan penderitaan yang dialami oleh penghidap kanser usus,” jelasnya lagi.
Bukan itu sahaja, terdapat kajian dari Universiti California, Amerika Syarikat mendapati buah anggur mempunyai khasiat yang membantu menguatkan ingatan seseorang individu.
Ketua penyelidik, Dr.Daniel Silverman memberitahu buah anggur juga boleh membantu mengurangkan risiko terkena penyakit Alzheimer.
“Individu yang memakan sekitar dua genggam anggur sehari mempunyai daya ingatan yang lebih baik berbanding individu yang tidak memakan anggur setiap hari. Hal ini kerana nutrien yang terdapat dalam buah anggur boleh melindungi bahagian otak, seterusnya menguatkan memori,” katanya.