Berkuatkuasa malam tadi harga runcit petrol RON97 adalah ditetapkan pada RM2.41 seliter iaitu turun sebanyak 19 sen, petrol RON95 RM2.13 seliter iaitu turun sebanyak 17 sen seliter.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan penurunan harga runcit bagi petrol RON97, RON95 dan Diesel pada minggu pertama pelaksanaan harga secara mingguan yang bermula tengah malam semalam.
Harga runcit diesel adalah ditetapkan pada RM2.11 seliter turun 9 sen.
Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, harga baru itu berkuatkuasa bermula jam 12.01 tengah malam semalam dan berakhir 5 April.
“Kerajaan percaya kaedah yang baharu diperkenalkan ini akan memberi kesan yang baik kepada pengguna kerana tempoh penggunaan produk yang siap diproses dan kadar tukaran wang asing menjadi semakin pendek iaitu tujuh hari.
“Oleh itu kadar turun naik perubahan harga bertindak balas dengan lebih cepat selaras dengan pergerakan harga minyak yang diproses di pasaran global,” katanya pada siaran secara langsung pengumuman harga baru menerusi Berita RTM, malam ini.
Jamil berkata, bagi minggu berikutnya, pengiraan harga akan menggunakan kaedah purata ‘cost producted petroleum’ yang siap diproses dengan kadar tukar matawang bagi tempoh seminggu.
Sehubungan itu, semua stesen minyak diingatkan mematuhi ketetapan harga baru ini.
Tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang menjual petrol dan diesel pada harga selain harga yang ditetapkan oleh kerajaan.