Jangan tak mengaku, ramai di antara kita tidak pernah terfikir pun untuk meminati mata pelajaran Sejarah sewaktu zaman sekolah kerana ia hanya dipenuhi fakta, polisi, undang-undang dan dasar serta tarikh-tarikh keramat.
Sejarah dianggap salah satu mata pelajaran yang susah dan sewaktu menjawab peperiksaan, setiap satu fakta harus diterangkan secara teliti dalam bentuk esei. Itu adalah perkara yang paling sukar untuk individu yang tidak suka membaca melainkan buat mereka yang benar-benar mengagumi sejarah dan kesasteraan.
Perkara itu mungkin telah memberi ilham kepada guru kelas tambahan ini. Vulcan Chong Weng Hon, 25, adalah merupakan guru mata pelajaran Sejarah yang membuka mata ramai orang kerana medium pengajarannya diselit menerusi bait lirik lagu. Kaedah pembelajaran dan pengajarannya mungkin bisa membantu proses pemahaman pelajar mengenai sesuatu fakta yang terkandung dalam silibus mata pelajaran ‘rumit’ itu.
Tonton Video Vulcan Bermain Gitar Sambil Ajar Sejarah Tingkatan 4 Topik Khulafa Al-Rasyidin
Jelas Vulcan, ideanya ini telah bermula sejak bulan Mac tahun lalu apabila dia ingin menerapkan suasana yang lebih santai kepada para pelajar sekolah menengah yang belajar dengannya. Pengajarannya itu kemudian dimuat naik ke saluran Youtube.
“Lagu membantu meningkatkan ingatan seseorang untuk mengingati sesuatu fakta dengan lebih cepat malah menjadikan proses pembelajaran lebih menarik melalui cara kreatif sebegini,” tambahnya.
Vulcan kini mengajar di sebuah pusat tuisyen di daerah Cheras.