“Mereka (tentera Myanmar) bunuh emak saya, pancung kepala nenek saya yang berumur 85 tahun dan kakak saya ditembak, dirogol…tolong Malaysia!”
Ini luahan salah seorang peserta Rohingya di Himpunan Solidariti Ummah Rohingya, Hasimudin Kursai, tatkala berbicara mengenaki kekejaman tentera Myanmar terhadap bangsa dan keluarganya.
“Ya ALLAH tolong, Malaysia kami mohon jua bantulah kami,” katanya.
Hasimudin berkata, dia juga telah diingatkan abangnya di sana supaya tidak menghadiri himpunan hari ini, kerana bimbang akan diambil tindakan oleh tentera Myanmar.
“Abang saya telefon saya, ingatkan jangan datang, tapi saya datang juga untuk solidariti umat Islam Rohingya,” katanya dalam yang menangis kerana tidak dapat menahan kesedihan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menempelak sikap ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang bersikap tidak mahu ambil kisah mengenai etnik Rohingya.
Najib berkata, Malaysia telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk bertemu Suu Kyi bagi membincangkan isu itu, namun mendapat reaksi dingin daripada pemenang anugerah Nobel Keamanan itu.
“Saya minta Menteri Luar kita ke Myanmar, tetapi Suu Kyi kata kalau nak jumpa dia hanya bincang isu hubungan dua hala sahaja. Kata Suu Kyi, saya tidak mahu bincang mengenai isu Rohingya…ini mana boleh. Kita mesti bincang segalanya,” katanya ketika memberi ucapan sempena Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa.
Oleh itu, katanya penyertaan Myanmar dalam komuniti Asean tidak membawa sebarang makna kerana mereka telah melanggar satu prinsip dalam Piagam Asean iaitu kemanusiaan.
“Piagam Asean pertahankan hak asasi manusia. Myanmar pakai satu sahaja. Artikel dalam Asean banyak. Dia baca satu sahaja. Kita tidak boleh campur tangan dalam urusan negara lain… dia tidak baca yang lain. Yang lain sebut bahawa hak asasi Asean pertahankan hak asasi manusia. Mereka buat ke?
“Janganlah cakap ikut sesuka hati. Apa dia nak kita buat. Kita masuk Asean sebagai ‘community of nation’. Kita satu komuniti bila berlaku kezaliman dan kekejaman orang dan dicabul hak asasi apakah ini bukan penentangan terhadap hak asasi manusia,” katanya.