Sebanyak 33 paket dadah ditemui dalam perut mayat lelaki ketika dibedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM) di sini, kelmarin.
Dadah dipercayai jenis syabu seberat 300 gram itu ditemui dalam perut mayat yang belum diketahui identitinya namun dipercayai warga asing. Sumber berkata, mayat ditemui oleh orang awam di Jalan 2/2, Pandan Cahaya, Ampang, Selangor, petang Jumaat lalu sebelum dilaporkan pada polis.
Katanya, polis merujuk mayat itu ke PPUKM sebelum proses bedah siasat dijalankan pada jam 10.30 pagi semalam. “Nilai dadah ditemui dianggar mencecah RM20,000.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, ketika dihubungi BH tadi, mengesahkan perkara itu.