Baru sahaja rangkaian snek pretzel terkemuka Aunty Anne dikecam selepas nama salah satu hidangan snek yang disediakan adalah Pretzel Dog. Namun kini, timbul pula satu isu viral lain di mana rangkaian burger Ninja Joe pula menggunakan nama P. Ramly sebagai nama hidangan burger yang berinti daging khinzir.
Huruf “P” pada nama burger P.Ramly adalah merujuk kepada perkataan “Pork” dan pada poster promosi burger tersebut juga telah jelas dinyatakan bahawa burger ‘istimewa’ tersebut mengandungi inti daging khinzir yang berjus. Hal ini sesungguhnya telah mencetuskan kemarahan sesetengah pengguna.
Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan menyeru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan supaya mengambil tindakan terhadap restoran berkenaan kerana ia bertindka mengelirukan pengguna dengan sengaja.
Menurut Akta Perlindungan Pengguna 1999, sebarang tindakan boleh diambil trerhadap satu-satu perniagaan yang sengaja memberi atau menyebarkan gambar yang mengelirukan berkenaan barangan mahupun servis mereka,” jelas Nadzim.
Bukan itu sahaja, menurut laporan yang disediakan oleh akhbar Berita Harian, ramai di antara orang awam yang kecewa. Seorang dari individu yang ditemu bual berkata, “Mengapa menggunakan nama P. Ramly? Banyak lagi nama Melayu lain selain nama aktor lagenda P. Ramly (P. Ramlee) yang boleh digunakan untuk menarik minat pelanggan bukan Islam.”
Ninja Joe juga telah memberi maklum balas terhadap kontroversi yang menyerang. Dalam sebuah pos di laman Facebook rasminya pagi semalam, Ninja Joe akan bertindak segera untuk menukar nama burger tersebut. Pungutan undian juga telah dijalankan bagi menamakan smeula burger tersebut.
Dalam sebuah temu ramah yang dijalankan oleh The Malay Mail Online, Pengasas Ninja Joe, Kelvin Tan berkata, “Burger Ramly adalah jenama burger yang telah sekian lama menapak di Malaysia, ianya sangat ikonik. Oleh kerana itu jugalah kami tampil dengan nama ‘P.Ramly’. Ianya tiada kena mengena dengan aktor lagenda P.Ramlee. Ia cumalah suatu kebetulan. Sememangnya huruf ‘P’ adalah merujuk kepada ‘Pork Ramly’.”