Adakah ini ambang kejatuhan era Jennifer Lopez?
Sejujurnya Miss Murai mengagumi kerja keras Jennifer Lopez tapi untuk lebih jujur penyanyi dan pelakon ini telah berlebihan saat ini. Bayangkan dalam masa yang serentak, JLo bukan sahaja lancar album bahkan filem, dokumentari dan juga konsert. Pada permulaannya, peminat teruja dengan album terbaru iaitu This Is Me…Now yakni sebagai album balasan This Is Me..Then selepas 10 tahun lalu.
Pun begitu, tema dalam album tersebut membuatkan ramai naik muak apabila ia masih dikait dengan percintaan beliau dan Ben Affleck. Ramai yang mahu sesuatu yang lebih baru dan bukan lagi persoalan kisah cinta 20 tahun lepas. Malah, filem terbaru JLo juga turut membawa visi yang sama tentang kisah peribadi dengan rekaan yang melampau-lampau. Ulasan dari penonton jika kebanyakannya negatif dan keliru tentang plot filem This Is Me..Now (guna tajuk yang sama).
Lebih mengejutkan lagi, kesemua projek terbaru ini Jennifer Lopez mengeluarkan bajet sendiri yang dianggarkan sekitar $20 juta! Miss Murai rasa itu silap pertama JLo dan kemungkinan melihat draft awal projek ini menyebabkan tidak ada pelabur yang mahu mengikuti hasil projek ini. Didalam dokumentari itu juga mendedahkan beberapa nama selebriti besar seperti Taylor Swift, Post Malone, Lizzo, Jane Fonda dan ramai lagi menolak untuk berlakon dalam filem This Is Me..Now.
Kemudian, Jennifer Lopez mengumumkan pula konsert tour pada musim panas akan datang. Namun, jualan tiket tidak laku dan menyebabkan ada beberapa lokasi terpaksa dibatalkan. Antara beberapa punca konsert ini tidak mendapat perhatian ialah harga tiket yang terlalu mahal. Barisan VIP atau Meet & Greet dijual sehingga $7 ribu dan paling rendah sekalipun $2 ribu. Malah, JLo juga buat pertama kali bakal beraksi dengan kapasiti stadium. Ramai berpendapat Jennifer Lopez terinspirasi dari kejayaan konsert Beyonce dan Taylor Swift.
Masalahnya sekarang, nama Jennifer Lopez tidak lagi setanding mereka dan Miss Murai nak tanya pembaca. Ada tak para pembaca kesayangan Miss Murai tahu lagu atau hafal dari Jennifer Lopez selain Jenny from the Block?
Sebenarnya duri yang dicipta Jennifer Lopez semakin berbisa. Ramai yang keliru dengan apa yang ditonjolkan oleh penyanyi pop ini. Peminat juga beranggap JLo mungkin takut namanya dilupakan atau sebenarnya berkhayal beliau masih popular seperti era 2000. Semuanya kini sudah berubah dan JLo perlu slow down dan cari fokus yang sesuai dengan dirinya sekarang. Siapa lagi mahu tahu tentang kisah percintaan beliau dan Ben Affleck. Apatah lagi mereka sudah bersama sekarang. So, what?
Para netizen di TikTok dan Instagram telah membuat ramalan ini merupakan kesan paling teruk dalam karier Jennifer Lopez. Album yang diharapkan untuk mengungguli carta Billboard tersadai di tangga ke-38 selepas dilancarkan pada Februari. Apa pun Miss Murai masih mengangumi cara kerja Jennifer Lopez dan berharap wanita berusia 54 tahun ini dapat kembali fokus dalam membikin kraf.