Kenapa masa puasa naik teruk jerawat?
Mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan keadaan kulit mulai merundum ketika berpuasa. Lebih memeningkan, ada yang berhujah berpuasa mampu mengembalikan kolagen dan meningkatkan antioksida kulit. Namun, kenapa pula kulit kamu semakin teruk?
Menurut The Indian Express, kajian klinikal mendapati berpuasa mampu mengurangkan masalah keradangan. Sekaligus memperbaiki keadaan kulit seperti ekzema, kemerahan, jerawat dan sebagainya. Malah, menahan lapar dari terbit matahari hingga terbenam matahari mengubah struktur elastik kulit. Ini kerana kadar insulin dalam badan mengurangkan radang dan memperbahurui kesihatan kulit.
Jangan terkejut, puasa juga dapat merangsang produksi kolagen iaitu antara kunci utama kulit terlihat awet muda dan sihat. Jadi apa masalahnya dengan puasa kalau bukan penyebab jerawat yang kamu alami setiap kali berpuasa.
Jawapannya ialah pada pengambilan diet ketika bersahur dan berbuka. Sentiasa ingat, kandungan air dalam badan semasa berpuasa sangat rendah. Apatah lagi tukaran waktu tidur yang boleh terganggu, kesemua ini memberi kesan pada kesihatan kulit. Senang kata, sebulan berpuasa di bulan Ramadan kulit boleh menjadi lebih sensitif.
Sentiasa bijak memilih hidangan yang kaya dengan nutrisi. Jangan mudah terpedaya dengan makanan ringan, makanan segera atau bergoreng. Mungkin pada bulan puasa ini kamu boleh lebihkan buah-buahan, sayuran dan aneka kalori lebih sihat. Amaran juga pada peminat kopi, kurangkan minum kafein supaya kadar hidrasi pada tubuh tidak menurun. Kekal hidrasi semasa berpuasa amat penting bagi menjaga kestabilan kulit.
Kesimpulannya, waktu berpuasa bukanlah punca utama kulit kamu naik jerawat. Pastikan jaga pemakanan dan mengambil air putih yang cukup.