Tertanya-tanya juga apakah yang dirasakan oleh setiap pasangan setelah bertahun lama bercinta? Adakah makin pudar atau makin mekar?
Tak dinafikan wujud perasaan takut itu sekiranya kamu tahu pasangan tidak lagi menyayangi dan mencintai kita sama seperti permulaannya.
Untuk mengekalkan perasaan cinta sepanjang masa walaupun sudah bertahun lama sememangnya ia melibatkan kedua-dua belah pihak dan bukannya seorang sahaja.
Bagi memastikan rasa cinta semakin mekar dalam hubungan, kamu dan pasangan perlu terlibat secara langsung dan pertimbangkan beberapa perkara ini.
#1 Luangkan Masa Bersama
Dalam sebuah perhubungan, perasaan bosan atau menyampah dengan pasangannya sepatutnya tidak boleh wujud.
Jika kamu sering berasa sebegitu, itu bermakna hubungan kamu tidak mempunyai kejutan atau perkara yang menarik bagi mengekalkan perasaan sayang dan cinta.
Bagi elakkan perkara itu daripada berlaku, kamu dan pasangan perlu merancang atau mencuba beberapa perkara baru bagi mengatasinya.
Luangkan masa bersama-sama tidak kiralah bercuti, bersenam, memasak atau berjalan-jalan di pusat membeli-belah. Yang penting pastikan masa yang diluangkan itu membuatkan hubungan kamu menjadi lebih rapat daripada biasa.
#2 Sekali Sekala Tukar Peranan
Buat rutin yang sama selama bertahun-tahun dan rasa hambar? Kamu boleh jadikan hari dan hubungan kamu segar dan rasa seperti baru-baru bercinta dengan bertukar peranan masing-masing sekali sekala.
Contohnya, jika pasangan kamu sering memandu kereta setiap kali keluar, kamu boleh mengambil alih tempatnya untuk sesuatu masa.
Kemudian kamu dan pasangan boleh membuat giliran melakukan kerja rumah sama ada memasak, mengemas rumah, mencuci pakaian dan sebagainya.
Bertukar peranan sekali sekala dalam hubungan boleh membuatkan kamu dan pasangan lebih menghargai pengorbanan antara satu sama lain dengan perkara yang dilakukannya.
#3 Berkomunikasi Secara Terbuka
“Communication is the key!”
Komunikasi merupakan satu perkara yang penting dalam setiap perhubungan bagi memastikan sama ada pasangan itu bahagia atau tidak.
Mempunyai komunikasi yang baik dan terbuka boleh menjadikannya sebagai sebuah kekuatan. Ini kerana ia boleh menjamin keharmonian dalam satu-satu perhubungan.
Untuk mengekalkan komunikasi yang baik dan secara terbuka sepanjang masa, kamu dan pasangan perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat. Iaitu dengan tidak mengelak konflik yang terjadi malah bersama-sama menyelesaikannya.
Sekiranya kamu ada masalah terhadap pasangan kamu, jangan pendam. Tetapi gunakan bahasa dan percakapan yang betul supaya pasangan faham dan ia dapat diselesaikan tanpa timbul salah faham.
#4 Penting Untuk Hormat Pasangan!
Dalam menjalinkan hubungan dengan pasangan, adakah kamu menghormatinya?
Konteks hormat di sini adalah hormat masa pasangan, hati, perwatakannya dan rasa percayanya kepada kamu. Ini kerana apabila pasangan merasakan kamu hormat dirinya, secara tidak langsung dia akan memberikan rasa hormat yang sama pada kamu.
Selain itu, beberapa perbuatan lain seperti panggilan nama, melihat telefon secara rahsia atau mengugut untuk menamatkan hubungan merupakan salah satu contoh di mana tiada rasa hormat untuk pasangan dan juga hubungan.
#5 Perkara Kecil? Penting Untuk Ingat
Perkara-perkara kecil seperti ucap terima kasih atau meminta tolong dengan cara yang betul pasti akan membuatkan pasangan kamu rasa dihargai dan penting walaupun sudah lama bercinta.
Pada masa yang sama, cuba untuk kamu mengingati warna kegemaran atau makanan kesukaan pasangan, pasti si dia berasa gembira dan makin cinta kepada kamu.
#6 Jangan Skip Untuk Makan Bersama
Bagi pasangan yang sibuk bekerja, waktu malam merupakan masa yang sangat ditunggu-tunggu untuk meluangkan masa bersama, baik makan ataupun berbual.
Meja makan merupakan salah satu tempat di mana setiap pasangan boleh berhubung secara fizikal dan emosi. Kamu boleh berkongsi atau bertanyakan kepada pasangan tentang apa yang dilakukan oleh mereka sepanjang hari dan sebagainya.
#7 Jangan Lupa Untuk Hargai Pasangan
Tak mustahil berada dalam sebuah perhubungan yang lama boleh membuatkan salah seorang daripada kita lupa bagaimana caranya untuk menghargai pasangan.
Dengan menghargai pasangan seperti rasa bersyukur dan bahagia memiliki dirinya dalam hidup boleh membuatkan hubungan tersebut menjadi lebih bahagia dan kuat.
Menunjukkan tingkah laku yang kecil, kata-kata yang manis dan minat yang mendalam terhadap diri pasangan boleh menaikkan keyakinan dalam hubungan serta cinta yang mendalam kepada kamu.
Bagi sesebuah perhubungan, tidak mustahil untuk hilang dan pudar rasa cinta. Tetapi kamu dan pasangan perlu memainkan peranan masing-masing bagi ‘menghidupkan’ kembali hubungan tersebut seperti di awal percintaan.