Bagi mereka yang ingin berkahwin, sudah semestinya perkahwinan ini dikatakan sebagai satu ibadah dan dituntut dalam agama.
Ini kerana setiap perkahwinan mengajar setiap pasangan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan saling menyayangi antara satu sama lain.
Tetapi bagi sesetengah situasi, sebuah perkahwinan itu boleh terbatal dan menjadi tidak sah. Jadi sebelum berkahwin kamu perlu selidik latar belakang pasangan untuk mengelakan beberapa situasi ini daripada berlaku.
Berkahwin Secara Paksaan
Seperti dalam drama, kebanyakan kita telah melihat pelbagai jenis situasi yang melibatkan perkahwinan secara paksaan. Situasi ini sebenarnya banyak berlaku di mana wanita sering dipaksa untuk berkahwinan dengan lelaki pilihan keluarga atau sebaliknya.
Secara realitinya, sebuah perkahwinan perlulah mendapat persetujuan kedua-dua pasangan. Kalau kamu sendiri, adakah kamu mahu berkahwin dengan individu bukan pilihan kamu dan secara paksaan? Sudah semestinya tidak.
Walaupun secara dasarnya perkahwinan itu dilakukan dengan cara yang betul dan sah, tetapi penting untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua pasangan dan ianya perlu dibatalkan sekiranya memaksa.
Perkahwinan Sesama Jantina
Jika dahulu, beberapa individu yang cuba menyerupai jantina yang lain pasti akan diketahui dan tiada teknologi yang boleh membantu mereka untuk mengubahnya.
Tetapi sekarang dengan kemajuan teknologi, tidak hairanlah jika kamu melihat beberapa individu ini boleh mengubah fizikal termasuklah alat sulit mereka menjadi jantina yang lain.
Jadi sekiranya kamu berkahwin dengan pasangan yang tidak tahu jantina asalnya, secara automatik perkahwinan itu terbatal. Diikutkan secara logiknya, mana-mana perkahwinan sesama jantina tidak boleh berlaku dan hukumnya haram.
Wanita Yang Berada Dalam Tempoh ‘Iddah
Untuk wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah tidak kiralah sama ada bercerai atau kematian suaminya, setiap tempoh bagi situasi itu adalah berbeza.
Bagi wanita yang bercerai, tempoh ‘iddah adalah mengikut tiga situasi seperti;
- Wanita yang masih ada haid – Tiga kali suci haid
- Wanita yang belum datang haid, belum cukup umur atau telah putus haid – Tiga bulan
- Wanita mengandung – Sehingga melahirkan anak
Manakala bagi wanita yang kematian suami pula, tempoh ‘iddah tertakluk kepada dua situasi seperti;
- Wanita tidak mengandung – 4 bulan 10 hari
- Wanita mengandung – Sehingga melahirkan anak
Jika berlaku perkahwinan semasa wanita berada dalam tempoh ‘iddah, perkahwinan itu perlu dibatalkan untuk mengelakkan berlaku salah faham dan kekeliruan jika wanita tersebut mengandung.
Berkahwin Tanpa Wali Atau Wali Bertauliah
Rukun perkahwinan, wajib dihadiri oleh wali atau jika tidak mempunyai wali yang sah, kamu boleh menggunakan wali bertauliah.
Jika melangsungkan sebuah perkahwinan tanpa kehadiran wali sama ada daripada pihak wanita atau lelaki mahupun wali bertauliah yang dilantik oleh pihak yang layak, perkahwinan tersebut tidak akan menjadi sah.
Sekiranya diteruskan dan tidak diambil endah, perkahwinan itu boleh dikatakan sebagai tidak sah dan boleh menjadi zina disebabkan oleh hubungan di antara suami isteri. Sebab itulah penting untuk sebuah perkahwinan sah, ia mesti dihadiri oleh wali atau wali bertauliah.
Individu Yang Masih Dalam Ikatan Perkahwinan
Tidak kiralah sama ada lelaki atau wanita, kamu perlu menyelidik dahulu latar belakang pasangan yang ingin dikahwini sama ada dia masih bujang atau sudah bercerai.
Jika kamu berkahwin dengan seorang wanita yang masih sah ikatan perkahwinan dengan suaminya, secara automatik perkahwinan kamu itu terbatal. Melainkan suaminya telah melafazkan cerai dan diakui perkara itu, barulah kamu boleh mengahwininya.
Jadi sebelum berkahwinan dengan pasangan, tidak salah untuk melakukan sedikit ‘siasatan’ dan selidik latar belakang dirinya dan keluarga untuk mengelakan beberapa perkara daripada berlaku yang boleh membatalkan perkahwinan kamu.