Hairan juga apabila buka baju dan lihat depan cermin, macam-macam bintik yang ada pada badan. Ada yang berwarna merah, ada yang berwarna hitam dan juga koko.
Nampak macam biasa dan tiada bahaya. Tetapi kalau kamu mahu tahu, ada beberapa bintik di badan dapat mendatangkan bahaya kepada kamu.
Jika kamu melihat beberapa bintik ini, segera berjumpa dengan doktor!
Melanoma
Melanoma adalah kanser yang terjadi dalam melanocytes atau sel kulit yang menghasilkan pigmen berwarna coklat (melanin). Sel kanser ini menjadi gelap apabila ia terdedah dengan sinaran matahari.
Kanser ini sering terjadi pada wanita dan lelaki iaitu di bahagian kaki, dada, punggung, kepala dan leher. Tetapi ia boleh terjadi di mana-mana bahagian badan termasuklah mata.
Untuk mengetahui sama ada bintik di badan kamu itu melanoma, jeragat atau tahi lalat, kamu perlu gunakan kaedah ABCDE.
A – Asymmetrical (Tidak Simetri)
Kamu perlu lukiskan satu garisan memanjang di tengah-tengah bintik tersebut. Jika kedua-dua bahagian kelihatan sama, ia adalah tahi lalat.
Sekiranya ia kelihatan berbeza, ini bermakna bintik tersebut adalah melanoma. Ini kerana melanoma atau sel kanser lain kelihatan tidak simteri dam berbeza daripada yang lain.
B – Border (Sempadan)
Jika kamu sentuh bintik tersebut dan ia rasa sekata atau licin, sebenarnya ia jeragat atau tahi lalat. Tetapi jika kamu sentuh dan rasa seperti benjolan dan tidak rata, ia berkemungkinan sel kanser.
C – Change In Color (Perubahan Warna)
Tahi lalat atau jeragat selalunya akan mempunyai warna yang sama dan tidak berubah. Tetapi sel kanser ia boleh menjadi pelbagai warna seperti tan, coklat, hitam, merah atau ungu kebiruan.
D – Diameter
Saiz tahi lalat atau jeragat sebenarnya adalah sehingga 6 milimeter sahaja atau kamu boleh bayangkan diameternya seperti pemadam pensil. Sekiranya ia melebihi 6 milimeter, berkemungkinan ia adalah tanda barah kulit.
E – Evolving (Berkembang)
Kamu perlu perhati setiap hari terhadap tahi lalat atau jeragat di muka atau badan. Sekiranya ia berubah warna atau saiz, kamu perlu tahu yang ianya adalah kanser.
Basal Cell Carcinoma
Basal cell carcinoma ini adalah kanser yang sering terjadi dalam kalangan masyarakat. Menurut American Cancer Society, hampir 3 juta orang didiagnosis dengan kanser kulit jenis ini.
Sering dijumpai di bawah lapisan epidermis, ia boleh muncul di seluruh permukaan kulit. Tetapi sel ini lebih ketara dijumpai di bahagian yang sering terdedah dengan matahari seperti muka, telinga, leher dan kepala.
Walupun ia adalah sel kanser, pertumbuhannya yang sangat lambat tidak akan menyebabkan ia merebak ke organ atau menyerang otot, tulang dan saraf.
Squamous Cell Carcinoma
Sel ini sering terjadi pada bahagian badan yang terdedah dengan sinaran matahari. Selain pada bahagian badan, squamous cell carcinoma ini boleh terjadi pada bahagian mulut atau alat sulit.
Kamu boleh lihat sel ini dalam pelbagai bentuk seperti:
- Bersisik dan bertompok merah yang berdarah.
- Luka terbuka yang berdarah, menjadi kerak dan tidak sembuh.
- Sangat lembut dan berdarah di bahagian tengah lekuk.
- Sama seperti ketuat tetapi mudah berdarah dan berkerak.
Actinic Keratosis
Actinic keratosis ini adalah pertumbuhan pra-barah yang boleh menjadi squamous cell carcinoma jika tidak dirawat.
Pertumbuhan pra-barah ini terjadi pada kulit yang rosak akibat terdedah dengan sinaran ultraviolet (UV). Actinic keratosis ini diketahui melalui sentuhan kerana kamu akan rasa bentuknya seperti kertas pasir.
Seborrheic Keratosis
Sering terjadi pada mereka yang menginjak ke pertengahan dan akhir usia, seborrheic keratosis ini adalah benign spots yang berwarna hitam dan timbul di permukaan kulit.
Pertumbuhan sel kanser ini sangat perlahan dan ia boleh hilang dengan sendiri. Tetapi jika seborrheic keratosis ini sering muncul dan membuatkan kamu terganggu, ia akan dirawat seperti squamous cell carcinoma.
Kadang kala bintik-bintik yang terjadi di badan selalunya adalah tahi lalat dan jeragat. Tetapi jika kamu sering melihat bintik-bintik di badan dan tidak yakin sama ada ianya kanser atau tidak, kamu boleh mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor.