Siapa yang kaki makan pedas pastinya sambal adalah menu wajib bagi penggemar makanan pedas bukan. Tapi kebanyakan orang selepas makan sambal yang dimasak sendiri pasti akan berasa sakit perut jadi di mana silapnya?
Kalau nak tahu cara buat sambal goreng yang sedap dan juga tak sakit perut apabila makan, jom ikut cara Yatie Sendayu Tinggi masak.
Sambal Goreng Stail Yatie Sendayu Tinggi
Bahan-bahan
- 1 biji bawang besar dihiris
- 5 biji bawang putih
- 20 biji atau segenggam cili padi merah atau hijau (ikut suka, nak campur pun boleh)
- 2 biji tomato kecil di belah empat
- 2 inci belacan (bagi yang tak boleh makan belacan boleh ganti dengan satu sudu kecil ikan bilis goreng)
- 1 sudu kecil gula
- 1 sudu kecil garam
Cara masak
- Masukkan minyak masak dalam kuali dan panaskan minyakkan kemudian masukkan bawang besar yang telah dihiris dan bawang putih ke dalam kuali.
- Tumis bahan-bahan hingga layu dan kemudian masukkan tomato yang telah dibelah empat tadi, belacan atau ikan bilis, dan cili padi ke dalam kuali.
- Tumis bahan-bahan hingga masak dengan menggunakan api sederhana, masak bahan-bahan dalam 5-7 minit.
- Bahan-bahan dah masak, toskan dan masukkan bahan ke dalam mesin pengisar.
- Kemudian masukkan satu sudu kecil gula dan garam ke dalam bahan dan kisar bahan hingga menjadi hancur lumat (kisar ikut suka, ada yang tak suka sambal hancur sangatkan).
- Sambal dah siap, tuang sambal dalam mangkuk dan ambil satu ke tiga sudu minyak panas yang digunakan masa menggoreng bahan-bahan ini tadi ke atas sambal.
- Sambal dah boleh makan bersama nasi panas, ulam dan lauk lain!
- Foto – Arkib Wanista via Facebook Yatie Sendayu Tinggi
Memang terliur betul tengok sambal goreng yang Yatie Sendayu Tinggi ini masak, lepas ini bolehlah cuba masak di rumah dan makan dengan nasi putih panas-panas!
Selamat mencuba♥