Tiada apa yang lebih menyelerakan dengan bersarapan menu roti prata kegemaran di pagi hari, biasanya menu roti prata di makan dengan sambal atau di cicah dengan kuah kari bukan.
Tapi kali ini apa kata kamu cuba sesuatu yang baru dan lebih lazat dengan beberapa menu roti prata di bawah. Lagi pun sekali sekala bertukar-tukar menu, akan membuatkan kamu sendiri berasa seronok makan sarapan pagi bersama yang tersayang.
Kalau tak percaya jom cuba dulu!
- Foto – Arkib Wanista
Prata Gulung Telur
Bahan-bahan
- 2-3 keping roti prata segera
- 1 labu bawang besar yang di cincang halus
- 3 biji telur
- 1 sudu makan daun bawang yang di cincang halus
- Garam dan serbuk lada secukup rasa
- Minyak zaitun
Cara memasak
- Masukkan telur, garam dan serbuk lada dalam mangkuk, pukul kesemua bahan-bahan sehingga sebati.
- Kemudian masukkan bawang besar dan daun bawang yang telah di cincang ke dalam mangkuk telur dan gaul rata.
- Panaskan minyak zaitun atas kuali leper, kemudian panaskan roti prata segera di kedua-dua bahagian hingga keperangan dan angkat roti yang telah masak ke atas pinggan.
- Guna kuali yang sama, tambah sedikit minyak zaitun kemudian tuang bancuhan telur ke atas kuali dan biarkan telur masak di kedua-dua bahagian.
- Telur yang siap masak diletakkan di atas roti prata dan kemudian gulung roti dengan kemas. Kamu boleh potong gulungan roti mengikut citarasa masing-masing.
- Foto – Arkib Wanista
Prata Sardin Pedas
Bahan-bahan
- 2-3 keping roti prata segera
- 1 tin kecil sardin yang telah dihancurkan isinya
- 3 tangkai cili padi di potong halus
- 1 labu bawang besar di cincang halus atau potong dadu
- 1 biji telur
Cara memasak
- Masukkan ikan sardin tin yang telah dihancurkan ke dalam mangkuk, kemudian masukkan bawang dan cili yang telah di cincang ke dalam mangkuk dan gaul rata bahan-bahan.
- Kemudian letakkan ikan sardin ke atas roti prata dan lipat roti menjadi bentuk samosa segi tiga atau ikut bentuk kesukaan masing-masing.
- Setelah itu, ambil bancuhan telur sapu sedikit kuning telur di atas roti prata dan bakar roti prata pada suhu 180 darjah selsius selama 25 – 30 minit dalam oven, atau kamu boleh goreng atas tungku dapur sehingga roti masak menjadi warna keperangan.
- Foto – Arkib Wanista
Prata Murtabak Gebu Gebas
Bahan-bahan
- 2-3 keping roti prata segera
- 500 gram daging atau ayam yang di cincang halus
- 1 labu bawang besar di cincang halus
- 3 ulas bawang putih di potong dadu
- 1 inci halia di potong dadu
- 3 tangkai cili padi di potong halus
- 2 sudu makan serbuk kari
- 2 sudu makan daun ketumbar atau daun sup di cincang halus
- 1 biji telur
- Garam secukup rasa
- Minyak ghee atau minyak masak biasa
Cara memasak
- Tuang minyak masak atau minyak ghee dalam kuali, minyak dah panas masukkan bawang besar, bawang putih, halia dan cili padi yang telah di potong ke dalam kuali. Tumis bahan-bahan hingga keperangan.
- Kemudian masukkan serbuk kari gaul selama 1-2 minit. Selepas itu masukkan daging atau ayam yang telah di cincang dalam kuali, gaul bahan-bahan hingga rata dan masak.
- Masukkan garam pada masakkan dan masak selama 2 minit, tutup api dan masukkan daun ketumbar atau daun sup dan gaul rata.
- Keluarkan roti prata segera, leraikan roti menjadi satu lapisan atau dua lapisan. Kemudian pecahkan telur di tengah-tengah roti prata dan ratakan telur di serata lapisan roti.
- Selepas itu masukkan inti daging atau ayam yang di masak ke atas roti prata dan balut roti prata menjadi empat segi seperti bentuk murtabak.
- Masak murtabak atas kuali leper dengan sedikit minyak masak atau minyak ghee, masak kedua-dua bahagian selama 3-4 minit atau murtabak jadi keperangan.
- Foto – Arkib Wanista
Prata Gulung Sosej Keju
Bahan-bahan
- 2-3 keping roti prata segera
- 3 batang sosej
- 3 helai keju
- Serbuk roti
- 2 biji telur
- Garam secukup rasa
Cara memasak
- Keluarkan roti prata dan letakkan lapisan keju atas roti kemudian letak sosej atas keju. Gulung roti dengan kemas.
- Pecahkan telur dalam mangkuk dan letak sedikit garam, pukul telur hingga sebati.
- Kemudian celup roti sosej dalam telur, selepas itu golengkan roti sosej atas serbuk roti pastikan serbuk roti melekat rata atas roti.
- Panaskan minyak dan goreng roti prata sosej sehingga masak atau warna berubah menjadi keperangan.
- Foto – Arkib Wanista
Prata Pizza Terliur
Bahan-bahan
- 2-3 keping roti prata segera
- 1 balang sos spaghetti tomato Kimball
- 3 batang sosej di potong kecil
- 1 labu bawang besar di potong dadu
- 1 mangkuk kecil buah nenas di potong dadu (kalau nak letak)
- Keju mozarella
- Mentega
Cara memasak
- Sapu mentega atas tray oven, kemudian letakkan kepingan roti prata dan dalam masa yang sama panaskan oven pada suhu 170 darjah selsius.
- Roti prata yang diletakkan atas tray oven tadi, disapukan dengan sos spaghetti atas roti sehingga rata.
- Selepas itu taburkan keju mozarella, sosej, buah nenas dan bawang atas roti (nak tabur atau susun bahan-bahan, ikut suka).
- Bakar roti pizza prata selama 20 minit pada suhu 170 – 180 darjah selsius, roti pizza prata siap dan sedia untuk di makan.
- Foto – Love Laugh Mirch
Banyak sangat sebenarnya resepi-resepi menarik dan kreatif yang boleh kamu cuba di rumah, sebagai menu sarapan pagi yang lazat dengan hanya menggunakan roti prata. Jadi apa lagi, jom pelbagaikan menu sarapan pagi kamu dengan cara masakan roti prata seperti di atas.
Selamat mencuba!