“Drink lots of water, it’s healthy.”
Mungkin ramai beranggapan minum air dalam kuantiti yang banyak adalah lebih baik untuk badan mereka. Malah, kekurangan air akan menyebabkan dehidrasi yang merbahaya pada badan.
Tapi pernah kita terfikir apa akan jadi pada tubuh badan jika kita minum air terlalu banyak?
Sama seperti kurang minum air, minum air terlalu banyak juga merbahayakan bagi manusia. Tidak hanya tubuh badan malah otak juga.
Sebaiknya…
Sebetulnya, jika anda banyak memakan makanan yang mengandungi jumlah air seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta serat penuh, anda diperlukan menambah sekurang-kurangnya 4 – 6 gelas air. Jumlah air yang harus diminum seseorang bergantung kepada keadaan individu tersebut, tetapi sebaiknya adalah 8 hingga 10 gelas sehari. Tapi jika kerap berpeluh disebabkan bersenam atau terdedah kepada cuaca yang panas, maka anda perlu minum lebih banyak air dan secukupnya supaya kekal hidrasi.
Namun, ada beberapa indikasi yang memperlihatkan bahawa anda minum terlalu banyak air bila…
Sering sakit kepala
Sekiranya anda sering mengalami sakit kepala, ada kemungkinan anda mengambil terlalu banyak air. Kerana natrium rendah dalam darah menyebabkan sel-sel membengkak. Keadaan itu boleh memyebabkan saiz otak membesar sehingga menyebabkan sensasi berdenyut yang menyakitkan.
Air kencing warna jernih
Air kencing berwarna pekat boleh menjadi tanda dehidrasi. Tetapi itu tidak bermakna bahawa anda harus minum banyak air untuk menghasilkan air kencing jernih. Menurut portal kesihatan Healthline, warna air kencing seeloknya ialah kekuningan bak lemon yakni menunjukkan tahap penghidratan yang sihat. Di samping itu, air kencing yang tidak berwarna mungkin bermakna anda terlebih hidrasi dan perlu mengurangkan pengambilan air.
Sering merasa mual
Walaupun terdapat beberapa keadaan boleh menyebabkan rasa mual atau muntah, tetapi terlalu banyak konsumsi air juga boleh membuatkan perut rasa senak. Rasa mual selepas anda mengambil sejumlah besar air mungkin menjadi tanda bahawa anda minum terlalu banyak air.
Kerap buang air
Perkara biasa yang dialami bila anda minum terlalu banyak air ialah kekerapan membuang air kecil – sama ada siang atau malam, sehingga mengganggu tidur. Keadaan lain seperti jangkitan saluran kencing, kencing manis, masalah prostat, dan kelemahan lantai pelvis juga boleh menyebabkan kerap kencing, jadi berbincanglah dengan doktor jika anda mendapati diri keluar masuk bilik air lebih banyak daripada biasa.
Kesan Minum Air Berlebihan…
Tahukah, minum air melebihi jumlah yang sepatutnya akan meningkatkan jumlah isipadu darah anda.
Buah pinggang anda pula perlu bekerja ‘lebih masa’ untuk menapis air yang berlebihan keluar dari sistem peredaran darah dalam badan anda. Keadaan ini akan menyebabkan glomeruli (sel penapisan halus) boleh rosak disebabkan kesan haus dan geseran, dan jumlah air yang banyak di dalam badan juga merupakan salah satu sebab kerosakan buah pinggang.
Fakta – Glomerulus berperanan menapis aliran darah dalam tubuh dengan hanya membenarkan bahan buangan seperti urea dan air disingkir melalui air kencing.
Kajian mendapati pengambilan cairan secara berlebihan dapat memudaratkan tubuh. Seorang doktor di Universiti Colorado, Amerika Syarikat, Chris McStay berkata, ketika seseorang minum terlalu banyak air, kandungan garam dalam tubuh akan menurun secara sangat drastik.
“Perkara ini dinamakan sebagai hiponatremia iaitu keracunan air. Keracunan air lazimnya terjadi apabila seseorang minum lebih banyak daripada kemampuan ginjal mereka mengeluarkan semula cecair itu,” jelasnya.
Jika hal tersebut tidak ditangani, ia akan menyebabkan sel otak membengkak dan seterusnya mengalami koma atau kejang badan. Bagi menangani masalah tersebut, seseorang disaran supaya mengambil air tidak lebih daripada jumlah yang sepatutnya.
Secara teknikal, anda perlu minum air sebanyak yang diperlukan untuk meghilangkan rasa dahaga. Cumanya jika terlalu banyak dapat menyebabkan mabuk air, yang menyebabkan ketidakseimbangan cairan dan darah dalam tubuh. Minum air berpada-pada dan bergantung pada keadaan diri ye.
Apapun sentiasa berunding dengan pakar atau doktor untuk maklumat lanjut, yang sepatutnya kamu lakukan.
Selamat Beramal!