“Sakit bersalin adalah sakit yang paling sakit di dunia”.
Itulah gambaran yang diberikan apabila ditanya pengalaman wanita yang pernah melahirkan.
Sesungguhnya bukan mudah hendak mengeluarkan seorang bayi lebih-lebih lagi jika seseorang wanita itu melahirkan secara normal, sangat sukar dibayangkan kesakitannya. Memang mudah untuk kita menilai tetapi selagi tak kena batang hidung sendiri, memang tak akan sesiapa pun tahu melainkan dia sudah berpengalaman menghadapinya sendiri betul tak?
Tonton Wanita Dapat “Push Present” Daripada Suami
https://youtu.be/LHpz_B_THGk?t=432
Secara logik akal, si suami perlu peka dengan usaha isteri yang hamil selama 9 bulan 10 hari lamanya dan proses melahirkan bukanlah semudah mengupas kacang. Untuk itu, budaya memberi ganjaran kepada isteri seperti yang ramai diamalkan orang barat ini mungkin patut suami-suami di Malaysia lakukan.
Apa Itu “PUSH PRESENT”?
Menurut pemahaman yang dijelaskan sumber People Magazine, “Push Present” adalah hadiah yang diterima isteri daripada sang suami atau pasangan atau bapa kepada anak yang dilahirkan mereka. Ia adalah ganjaran yang diberikan kerana penat lelah si isteri yang sudah bertarung nyawa melahirkan.
Bukan itu sahaja, ia juga merupakan hadiah untuk menyambut kehadiran orang baru di antara pasangan (suami dan isteri) dan dalam masa yang sama meraikan si ibu dan anak.
Mendapat luka dalaman, perlu berpantang, sukar berjalan, mendapat tanda regangan di perut, bengkak susu dan sebagainya… sememangnya seorang isteri layak mendapatkan “Push Present” ni kan? Selalunya “Push Present” berupa barangan berharga.
Selebriti Mulakan Trend “Push Present”
Sebelum ini sudah ramai selebriti yang memulakan trend “Push Present”. Ini termasuklah Beyonce yang mendapat sebentuk cincin berlian biru daripada Jay-Z sebagai ganjaran bersalin selepas melahirkan Blue Ivy Carter manakala, Kylie Jenner mendapat sebuah kereta Ferrari rona hitam dengan pintu unik sambil ruangan dalamannya dihiasi dekorasi serba merah daripada teman lelaki Travis Scott sebaik melahirkan Stormi!
Tak Mahal Pun Tak Mengapa…
Kalau hendak memberi tu biarlah seikhlas hati dan mengikut kemampuan, tak perlulah ikut jejak Kanye West beri seutas rantai berlian kepada Kim Kardashian sebagai ganjaran bersalin. Kita tahu kemampuan suami kita dan suami pun perlu kaji selidik kehendak isteri dan apa impiannya terlebih dahulu. Alah setakat cincin emas, dalam lingkungan RM500 sudah dapat yang cantik.
Kalau masih tak mampu, di Pandora ada cincin RM300 yang gempak dan dilihat mewah. Asalkan boleh buat isteri gembira. Untung-untung dengan pemberian hadiah sebegitu isteri boleh anggap ia sebagai motivasi.
BACA: 5 Tips Amalan Rasullulah Untuk Suami Isteri Bahagia Hingga Ke Jannah
Namun begitu, ada juga orang yang berpendapat bahawa “Push Present” ini sesuatu yang membazir. Tapi bagi penulis sekali-sekala beri isteri hadiah apa salahnya... ia sebagai cara untuk si suami tonjolkan yang dia benar-benar menghargai pengorbanan isteri. Rasulullah s.a.w juga pernah bersaba:-
“Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang.” (Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.)
Baginda Rasulullah s.a.w menunjukkan teladan hebat sebagai seorang suami yang gemar memberikan hadiah buat isteri-isterinya. Bahkan baginda mengaitkan secara jelas bahawa hadiah bisa mewujudkan perasaan kasih dan sayang sesama manusia, lebih-lebih lagi antara pasangan yang sudah halal. Wallahu a’lam.
Selamat beramal! ❤️