Pernah dengar tentang daging Wagyu? Penulis pasti, mana-mana restoran yang menyediakan hidangan makanan ala Barat pasti ada menyediakan pilihan daging dari baka Wagyu ini. Namun, sejauh mana pengetahuan kamu tentang Wagyu selain mengetahui yang harganya jauh lebih tinggi hingga mampu mencapai ribuan ringgit? Jom Wanista perjelaskan sebabnya…
Boleh Mencair Dalam Mulut
Diibaratkan seperti tekstur mentega (butter) yang mencair di dalam mulut, kehalusan daging dan lemak-lemaknya enak dimakan begitu sahaja menurut individu yang pernah berpengalaman merasanya dan oleh kerana keistimewaannya yang itu jugalah, Wagyu memiliki harga yang bernilai dalam kalangan penternak, pengedar, pengilang, pasaraya dan restoran.
Bahkan, boleh lihat kedudukan lemak dagingnya yang berupa seperti marmar -menjadikan rasa dagingnya bertambah sedap.
Apa Itu Wagyu?
Menurut sumber, Wagyu secara umumnya dalah panggilan jenis lembu yang merujuk kepada apa sahaja daging lembu yang berasal dari Jepun. Dalam istilah asal “Wa” bermaksud “Jepun” manakala “Gyu” bermaksud “Lembu”.
Di negara matahari terbit itu sahaja, terdapat empat jenis baka lembu Wagyu dipanggil Japanese Black, Japanese Brown, Japanese Shorthorn dan Japanese Polled. Manakala daging Wagyu yang digelar Kobe pula adalah jenis Wagyu paling mahal dan ia merupakan baka Tajima yang hanya boleh dibela di dearah Hyogo di Jepun.
Lembu Dipaksa Hadap Diet Dahsyat
Untuk mendapatkan gelaran Wagyu, lembu-lembu harus dijaga dan diberi makan mengikut tata cara yang tegas. Sebagai contoh, lembu betina yang mengandung dan memang dijadikan lembu pembiakan akan dibiarkan lepas di padang memakan rumput. Manakala anak-anak lembu yang masih kecil akan diberi minum susu khas dengan menggunakan botol. Anak lembu juga akan dipakaikan jaket bagi memelihara suhu badan mereka waktu musim sejuk.
Anak-anak lembu kemudian akan dibela dalam kandang berasingan daripada ibunya sehingga usia 7 bulan sebelum dihantar ke pusat lelong untuk tujuan penggemukan di ladang penggemukan. Lembu Wagyu juga hanya diberi makan jerami dan rumput yang berasal dari kawasan setempat.
Apabila tiba di ladang penggemukan pula, anak-anak lembu akan terus dibesarkan selama tiga tahun lagi sehingga beratnya mencecah 700kg dan setiap satu lembu Wagyu ini tadi memiliki sijil kelahiran tersendiri bahkan akan diberi nama dan bukannya nombor seperti lembu-lembu belaan kita di sini. Hebat kan?
Didera Kerana Dimandulkan
Secara lahiriahnya sebagai makhluk yang mempunyai nafsu, biarpun binatang, mereka pasti ada keinginan untuk berhubungan atau mengawan namun begitu, bagi mengekalkan kualiti Wagyu, lembu-lembu ini tidak akan dibenarkan mengawan tahu? Menurut sumber, semua lembu jantan yang bakal disembelih akan dimandulkan manakala lembu betina semuanya harus dipastikan masih dara sebelum disembelih.
MITOS: Lembu Wagyu Diberi Minum Bir?
MENURUT MITOS secara tradisionalnya, lembu Wagyu akan diberi minuman bir seperti sake bagi menaikkan selera lembu. Ini supaya lemak mereka semakin banyak; semakin penuh tompokan lemak pada daging, semakin tinggi gred Wagyu dan semakin mahal harganya.
Tidak cukup dengan itu, betapa mewahnya kehidupan lembu Wagyu apabila mereka dilayan seperti Raja bahkan ada kandang yang akan dipasang muzik-muzik menenangkan dan adakalanya lembu-lembu itu diberi urutan dan rawatan akupunktur agar bebas dari tekanan. Ini kerana, lembu Wagyu yang tertekan akan berisiko memiliki daging yang kental dan tidak empuk. Jadi, amat penting untuk pastikan lembu-lembu Wagyu yang dibela stress-free!
Wagyu Tak Enak Dimakan Sebagai Stik
Sedikit tips dari Wanista, Wagyu tak enak dimakan sebagai stik dan cara terbaik untuk menikmati Wagyu adalah memakannya sebagai hidangan bakar seperti BBQ kerana rasanya lebih enak kalau dimakan dalam bentuk lebih kecil seperti dihiris nipis atau dipotong kiub.
Sekarang dah jelas mengapa harga Wagyu boleh mencapai RM2,000 sekilo? Mulai sekarang, kumpul duit banyak-banyak dan boleh cuba rasa sendiri betapa sedapnya daging “lembu dara” ni.
Tonton Vlogger Makan Daging Wagyu
Tapi ingat, tak semua Wagyu itu asli dari Jepun kerana ada juga baka lembu Wagyu yang diimport dari Australia dan beberapa negara lain, bahkan Australia boleh dikira sebagai pengeksport daging Wagyu terbesar di dunia -lebih besar dari Jepun sendiri. But kalau nak rasa yang pure Wagyu, better makan yang asli dari Jepun.❤️