Dalam era moden sebegini, kalau boleh semua benda hendak kita jaja pada umum. Niat di hati ingin berkongsi kegembiraan tetapi adakalanya orang tersalah tafsir yang kita terlalu gemar menunjuk dan membangga diri di atas segala apa yang kita miliki.
Paling tidak, ramai suka berkongsi kemesraan yang terjalin di antara diri dan kekasih hati, namun atas tujuan apa? Klise sangat kan…
Di Eropah dari daerah Czechia, seorang pengembara dan jurugambar profesional Honza Řeháček ini menonjolkan sifat kasih yang mampu ‘memanggil’ ramai orang untuk seraya menanam sifat kemanusiaan.
Kisahnya, Honza yang gemar mengelilingi dunia untuk melihat keindahan alam ciptaan tuhan ini akan turut serta membawa anjing kesayangannya bersama ke mana sahaja dia pergi. Untuk pengetahuan semua, anjing jenis baka serigala itu diberi nama Sitka.
Kini, selain mengembara dan mengambil potret keajaiban alam, Honza juga gemar mengambil foto dirinya mengusap anjingnya -mirip trend fotografi #FollowMeTo.
Ternyata keakraban manusia dan haiwan sebegini mampu menerbitkan aura yang sangat gah bahkan, tindakan Honza itu berjaya memancing banyak komen positif dari pengguna media sosial di seluruh dunia!
Menurut Honza, Sitka sangat penting dalam hidupnya biarpun ia cuma seekor anjing. Jelasnya lagi, hobinya ini bermula sekitar 2014, apabila suatu ketika dia berasa sangat murung dan keseorangan namun akhirnya dia nekad untuk mengubah nasib diri dan mula mengembara. Sehinggalah sebulan selepas itu, dirinya bertemu Sitka.
Menurut Honza, Sitka telah banyak mengubah dirinya dan dari saat itu, Sitka menyertai dirinya ke mana sahaja dia pergi untuk sama-sama melihat dan menghargai keindahan alam.
“Sebab itu saya merakam detik manis saya bersama Sitka sebagai memori, untuk dikenang sampai bila-bila”.