Ramai ibu bapa hari ini mengambil jalan mudahh untuk menenagkan anak-anak. Semakin kuat anak itu menangis, semakin ringan tangan ibu bapa menghulur peranti yang kemudian mendorong anak itu sendiri menjadi ‘gian’ terhadap hiburan berbentuk video seperti kartun, lagu-lagu di lama Youtube mahupun permainan atas talian yang dianggap interaktif.
Namun begitu, berapa ramai yang tahu sebenarnya hiburan atas talian serta pembelajaran elektronik sebenarnya memberi kesan buruk terhadap pertumbuhan mental kanak-kanak?
Menurut pakar, biarpun pembelajaran atas talian lebih memudahkan kerana kanak-kanak dilihat bisa berinteraksi dengan mudah menerusi visual dua dimensi serta bunyi-bunyian phonic tetapi, aplikasi pembelajaran yang dimuat turun ke dalam perisian gajet atau peranti sebernarnya tidak memberi faedah berguna kepada mereka. Sebaliknya, ia membuatkan anak anda semakin lembab dan bukanlah semakin bijak.
Untuk pengetahuan umum, kebanyakan syarikat yang menghasilkan bahan pembelajaran atas talian atau yang berbentuk interaktif video ini sebenarnya berfungsi sama seperti permainan video. Mereka menggunakan strategi dan teknik yang sama untuk menarik minat kanak-kanak agar terus ‘melekat’ lebih lama.
Lihat sahaja norma hidup kanak-kanak masa kini, bergelumang dengan peranti elektronik dan sudah terlalu bijak menggunakan internet tanpa sebarang pengawasan.
Lebih Banyak Tengok Skrin, Lebih Rendah IQ
Apabila kanak-kanak menghabiskan banyak masa di hadapan skrin, ia sebenarnya mempengaruhi penurunan IQ mereka.
Menurut kajian, apabila seseorang terdedah terhadap sesuatu perkara yang terlalu cepat seperti visual dan kandungan yang kita lihat menerusi video atas talian, otak dan minda agak sukar menghadamnya dekterlalu banyak maklumat yang perlu diproses sekali harung. Untuk itu, pembelajaran elektronik bukanlah solusi yang paling tepat untuk buat anak-anak anda lekas tangkap.
Menurut Dr. Law yang pernah menjalankan kajian terhadap pembentukan mental kanak-kanak, “Semakin banyak kanak-kanak menghabiskan masa menonton televisyen sewaktu umurnya baru setahun, semakin rendah IQ kanak-kanak tersebut apabila mencapai umur empat setengah tahun nanti”.
Inilah punca kenapa kanak-kanak sukar fokus dalam kelas, mudah hilang kawalan, suka mengganggu rakan-rakan dalam kelasnya dan lain-lain.
Jika Salah Guna Bawa Padah
Setiap kali kanak-kanak memperoses maklumat, akan ada saluran dalam otak yang bersambung bagi emmudahkan perjalanan info tersebut dari satu bahagian otak ke bahagian yang lain dan ianya digelar “synapses”.
Penyambungan saluran dalam otak itulah yang akan mempengaruhi kemampuan kanak-kanak termasuklah komunikasi, kecekapan menggunakan kemahiran fizikal, menyelesaikan masalah serta cara dirinya berhadapan dengan benda dan perkara yang ada disekelilingnya.
Namun dengan hanya menonton tanpa melakukan pergerakan fizikal, tanpa mulut menyebut apa yang dilihatnya, apa faedah menggunakan pembelajaran elektronik? Mendengar dan melihat sahaja tidak cukup.
Lama-kelamaan, bahagian otak yang tidak bersambung itu akan mengecut lalu luput dengan sendirinya. Jangan terkejut, proses pengecutan bahagian otak yang tidak digunakan itu berlaku sebaik kanak-kanak menginjak usia empat tahun.
Jelas Dr. Law lagi, penyelidikan neurosains juga mendapati, kanak-kanak yang gemar berdampingan dengan gajet akan ada masalah komunikasi yang kritikal. Mereka akan selesa bersendirian dan sukar bergaul dengan rakan sebaya.
Tonton Video Mengenai Keburukan Pembelajaran Elektronik Terhadap Pembentukan Minda Kanak-Kanak
Kesimpulan
Pembelajaran menerusi gajet secara elektronik bukanah cara betul untuk mendidik anak. Pembelajaran sebenar perlu dilakukan dengan penglibatan deria yang sebenar kerana kanak-kanak hanya akan faham dan menyimpan pembelajaran dalam memori apabila ia diulang-ulang sambil disokong komunikasi dua hala.
Dalam masa yang sama, untuk belajar sesuatu, kanak-kanak perlu menerokai dunia realiti termasuklah dengan melihat, menyentuh, mendengar dan sebagainya. Dari situ, perasaan ingin tahu akan muncul dan lebih banyaklah maklumat yang akan diproses otaknya. Apabila sel otak berhubung, barulah anak akan pandai.
Paling penting, perlu galakan anak untuk bergaul dan berkomunikasi dengan teman sebaya. Jika tidak, mereka akan ketinggalan dan menjadi seorang manusia yang suka bersendirian (anti-social), kurang berkomunikasi, penakut dan tidak yakin diri apabila besar nanti.