Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60 bagi tahun 2017, pengguna tren MRT, LRT dan Monorel akan menikmati tambang separuh harga bermula hari ini sehingga 31 Ogos ini, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri membuat pengumuman itu ketika melancarkan fasa dua MRT1 di stesen Tun Razak Exchange di sini hari ini.
Najib turut mengumumkan tambang percuma fasa dua MRT1 yang bermula dari Muzium Negara ke Kajang sepanjang hari ini.
Laluan fasa dua MRT Sungai Buloh-Kajang yang menelan belanja RM21 bilion akan dibuka kepada orang ramai bermula 4 petang ini.
Projek MRT yang dapat disiapkan lebih awal turut mendapat pujian Najib apabila memberi penjimatan sebanyak RM2 bilion.
Laluan Sungai Buloh- Kajang merupakan pelan pertama MRT yang merangkumi kawasan Lembah Klang.
Laluan kedua MRT yang akan menghubungkan Sungai Buloh dengan Serdang dan Putrajaya dijangka siap pada 2022.