Seorang penganggur di Kota Bharu, Kelantan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan menendang perut ibunya sehingga cedera di Kampung Chengal, Kadok, bulan lalu.
Mohamad Shafie Shaari, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 30 Mac depan untuk laporan perubatan mangsa sebelum hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencederakan ibunya, Mek Jah Ab Shaari, 59, dengan menendang perut mangsa menggunakan lutut di Kampung Chengal, Kadok, di sini, pada jam 7 malam, 5 Februari 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaus Mohamed Idris menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh bagaimanapun memohon jaminan itu dikurangkan kerana tidak mampu membayarnya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat hanya keluarga dibenarkan menjadi penjamin.