Dilaporkan, filem Bollywood Dangal lakonan Aamir Khan telah mendapat sambutan yang amat hebat, dengan kutipan sebanyak Rs 155.35 crore (RM 89.12 juta) hanya dalam masa lima hari tayangan.
Malah, kutipan setakat Isnin lalu memecah rekod sebagai filem yang paling laris tahun ini, melangkaui jualan tiket filem Sultan lakonan Salman Khan.
Diarahkan oleh Nitesh Tiwari, Dangal turut dibintangi pelakon Hindi lain seperti Sakshi Tanwar, Fatima Sana Shaikh dan Sanya Malhotra.
Filem ini menggarap kisah sebenar kehidupan Mahavir Singh Phogat yang melatih anak-anak perempuannya untuk bergelar penggusti bertaraf dunia.
Di peringkat antarabangsa, Dangal diterima baik dan telah mengutip sebanyak Rs 76.16 crore (RM50.1 juta) di pasaran AS, Kanada, Timur Tengah, UK, Ireland dan Australia, menurut akhbar hiburan India, Bollywood Hungama.
Lebih membanggakan, filem itu turut menjadi filem yang mengutip jualan tiket tertinggi di Amerika Utara. Sebelum ini, rekod tersebut dipegang oleh sebuah lagi filem Aamir, iaitu Dhoom 3.
Filem ini mula mendapat perhatian bulan lalu apabila sebuah video dokumentasi ‘pengorbanan’ Aamir menggemukkan diri dan juga persediaan melalui proses membina otot bagi wataknya dalam filem ini menjadi viral di media sosial.
Filem ini mengisahkan Mahavir (lakonan Aamir Khan) yang memiliki tubuh segak bak ahli gusti, namun peredaran usia membuatkan dia mula mengalami perubahan dari segi berat serta saiz tubuhnya yang juga mempunyai masalah buncit.
Nampaknya, usaha bintang bermata hijau ini tidak sia-sia kerana komitmen yang diberikan olehnya membuahkan hasil yang lumayan di pecah panggung.
Dangal mulai ditayangkan serentak di seluruh dunia bermula 23 Disember lalu.